KUALA LUMPUR, 18 JUL – Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor ditahan polis di bilik penginapannya di sebuah hotel di ibu negara awal pagi tadi.
Perkara itu dikongsikan pegawai menteri besar itu Helmi Khalid menerusi rakaman video yang dimuat naik dalam laman Facebooknya hari ini.
Menurut catatan kronologi dalam video yang dikongsikan itu, pintu bilik Muhammad Sanusi diketuk oleh anggota polis pada 2.30 pagi sebelum Menteri Besar Kedah berkenaan dibawa keluar dari bilik penginapannya pukul 3 pagi.
Muhammad Sanusi kemudian diarah menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak untuk siasatan di bawah Seksyen 4 (1)(a) Akta Hasutan 1948.
Video sama juga dikongsikan oleh pentadbir akaun Facebook Muhammad Sanusi menerusi laman Facebook penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri itu.
Muhammad Sanusi tiba di Mahkamah Sesyen Selayang pada 8.57 pagi ini bagi menghadapi pertuduhan berhubung kenyataan beliau yang didakwa menyentuh isu 3R (agama, kaum dan raja) dalam ceramah politiknya. – BERNAMA