KUALA LUMPUR, 15 Dis – Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mendedahkan beberapa pemimpin tertinggi UMNO termasuk Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan berjumpanya kerana ingin meminta nasihat untuk meninggalkan parti itu.
Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, pemimpin UMNO tersebut datang berjumpanya bagi meminta nasihat beliau untuk mereka meninggalkan UMNO.
“Mereka hanya datang berjumpa saya dan beritahu yang mereka mahu meninggalkan UMNO. Mereka minta nasihat saya. Itu saja,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Sambutan 20 Tahun Muzium Kesenian Islam di Yayasan Albukhary di sini pas Jumaat.
Mahathir berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai gambar beberapa pemimpin tertinggi UMNO bertemu beliau yang menjadi viral sejak semalam.
Namun Mohamad sebelum ini berkata, foto tersebut adalah foto lama dan beliau tidak akan lompat parti.
Selain Mohamad, turut berada dalam gambar tersebut adalah Tan Sri Noh Omar, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Datuk Seri Shahidan Kassim.