KUALA LUMPUR, 16 Okt – Dua penuntut Kursus Tempur Pegawai Muda di Kem Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA), Johor yang mengalami simptom strok haba, masih dirawat di Unit Rawatan Rapi dan Kecemasan (ICU) Hospital Sultan Ismail (HSI).
Sel Perhubungan Raya Tentera Darat Malaysia (TDM) memaklumkan, kedua-dua telah sedarkan diri dan beransur pulih namun masih memerlukan pemantauan rapi pihak hospital.
“2 daripada 7 penuntut yang menerima rawatan di Hospital Kota Tinggi juga sudah dibenarkan keluar, manakala 5 lagi masih di wad namun keadaan mereka stabil,” katanya dalam kenyataan.
Sebelum ini, media melaporkan, 9 Pegawai Muda dirawat di hospital selepas mengalami simptom strok haba ketika menjalani Kursus Tempur Pegawai Muda di lapang sasar Kem PULADA, Kota Tinggi.
Kejadian membabitkan 10 Pegawai Muda yang mana 3 dimasukkan ke ICU Hospital Sultan Ismail (HSI) dan 7 lagi ke Hospital Kota Tinggi (HKT), untuk rawatan lanjut.
Namun, seorang yang dirawat di ICU HSI meninggal dunia jam 11.10 malam pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Tentera Darat Malaysia (TDM) memaklumkan, PULADA sedang mengendalikan Kursus Tempur Pegawai Muda Siri 3 Tahun 2023 dari 18 September lalu hingga 5 Januari 2024 di Johor.
Tambahnya, ia adalah kursus asas bagi membentuk tahap kompetensi dan profesionalisme sebagai Pegawai Muda TDM.
“Pada 13 Oktober lalu, 10 penuntut kursus telah rebah secara berperingkat di beberapa lokasi sepanjang laluan eksesais Wira Lasak iaitu Ujian Jalan Laju 8 kilometer (KM) di sekitar kawasan Lapang Sasar Utara, Pulada, Ulu Tiram, Johor,
“Kesemua penuntut dirujuk ke Hospital Kota Tinggi untuk mendapatkan rawatan awal, manakala 3 daripada mereka telah dirujuk ke Hospital Sultan Ismail Wad ICU (Zon Merah) kerana tidak sedarkan diri,
“Seorang daripada mereka telah disahkan meninggal dunia akibat strok haba pada 15 Oktober lalu dan telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Bandar Tasik Puteri, Rawang Selangor,” jelas TDM dalam kenyataan.
Dalam kenyataan yang sama, TDM berkata, pihaknya juga sedang berusaha mengenal pasti punca kejadian itu berlaku dan akan melaksanakan penambahbaikan untuk masa hadapan.
“TDM memandang serius insiden ini dan akan berusaha mengenal pasti punca kejadian di samping melaksanakan penambahbaikan kepada pengendalian sistem latihan sedia ada, jika perlu,” tambah kenyatan itu.
TDM juga sedang mengusahakan segala bentuk bantuan dan kelayakan-kelayakan yang dapat diperoleh mengikut peraturan sedia ada bagi membantu waris pegawai yang telah meninggal iaitu Allahyarham Leftenan Muda, Emil Syahid Iskandar.
“Panglima Tentera Darat serta seluruh warga TDM mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham,
“Diharapkan mereka dapat menerima dugaan ini dengan tabah. Semoga Allahyarham ditempatkan bersama orang-orang beriman,” jelas TDM. -airtimes.my
#TDM #pulada #Strokhaba #pertahanan