JOHOR BAHRU, 19 Ogos – Kira-kira 40 ahli Pertubuhan Kebajikan Bekas Tentera Tidak Berpencen (PEKEBAT) Negeri Johor berkumpul di luar perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara hari ini sebelum membuat laporan polis terhadap dua individu yang didakwa telah menghina Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Dua individu itu ialah ahli perniagaan Koon Yew Yin dan seorang orang awam yang dikenali sebagai Tan Jun Xian Rayson.
Mereka berkumpul di kawasan perkarangan berkenaan seawal pukul 8.30 pagi namun hanya membuat laporan polis sekitar pukul 10 pagi.
Menurut Pengerusi pertubuhan itu, Mejar (Bersara) Md Razali Md Lani, kenyataan Koon yang menyifatkan ‘askar hanya makan tidur, tak pernah menembak, baik kerja ladang Felda’ adalah satu penghinaan terhadap anggota ATM termasuk golongan veteran.
Ini kerana anggota ATM katanya telah bersusah payah menjalani latihan dan eksesais serta melaksanakan operasi demi menentang anasir-anasir jahat sebelum dan selepas kemerdekaan sehingga sanggup meninggalkan keluarga masing-masing untuk menjaga keselamatan dan kedaulatan negara.
“Kami PEKEBAT Johor dan ATM amnya merasakan tidak berpuas hati dan terhina serta kecewa dengan kenyataan Koon Yiew Yin itu yang boleh mengundang keresahan dan mengganggu ketenteraman awam.
“Kami mohon pihak berkuasa, polis dan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) agar segera bertindak melakukan siasatan terperinci,” katanya kepada media selepas membuat laporan terbabit.
Md Razali berkata siasatan juga harus dilaksanakan terhadap Tan kerana didapati telah memperlekehkan ATM dengan membandingkannya dengan tentera dari negara China.
“Kami tidak akan menerima permohonan maaf beliau sebagai satu pengajaran kepada individu atau persatuan yang mencabar atau menggugat keselamatan negara,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, ACP Mohd Taib Ahmad mengesahkan pihaknya ada menerima laporan polis dibuat pertubuhan itu, ketika dihubungi, hari ini.
Minggu lepas, Koon yang merupakan Pengasas Gamuda Bhd dikecam hebat oleh pelbagai pihak ekoran kenyataannya yang mendakwa anggota tentera di negeri ini hanya ‘makan dan tidur” sementaraTan pula dikritik netizen kerana meninggalkan komen yang kurang ajar mengenai tragedi 13 Mei dalam sebuah akaun Facebook. – Bernama