KUALA LUMPUR, 17 Ogos – Media Singapura, The Straits Times (ST) mendakwa sebanyak 70 dokumen Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah dimuat naik ke dalam laman ‘Dark Web’.
Menurut laporan itu, dokumen yang dimuat naik adalah diperolehi dari beberapa sumber yang menggodam akaun e-mel anggota tentera.
Dokumen yang dimuat naik itu mendedahkan maklumat mengenai jumlah anggota tentera di beberapa pangkalan tentera laut dan kem tentera semasa cuti, syarat untuk pemeriksaan tentera laut, dan maklumat pegawai serta anggota yang didakwa melakukan rasuah, mengambil dadah dan tidak hadir tanpa cuti.
Menurut ST, terdapat juga dokumen milik tentera dan tentera udara Amerika Syarikat (AS) serta tentera laut Nigeria yang dimuat naik. Ia termasuklah maklumat berkaitan ketenteraan yang dicuri dari pelbagai negara dan kontraktor pertahanan.
Dark Web merujuk kepada rangkaian laman web yang tidak mudah diakses oleh pengguna Internet biasa tetapi sering digunakan untuk kegiatan haram yang bertujuan untuk melanggar undang-undang.-airtimes.my