PUTRAJAYA, 10 Dis – Pakatan Harapan (PH) boleh mengekalkan kemenangan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang jika kekal bersih dan tidak terjebak dalam gejala rasuah.
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kempat-empat parti komponen PH dan Parti Warisan Sabah dipilih oleh rakyat pada PRU14 sebagai kerajaan kerana bersih dari rasuah.
“Jangan terlibat dengan perkara-perkara terlarang, menerima upah daripada sesiapa kerana itu tidak dibenar dalam undang-undang negara.
“Kalau kita terus bersih dan dilihat sebagai sebuah pemerintahan yang tidak kotor, dicemar dengan ketamakan maka kita akan terus berkuasa.
“Apabila datang PRU15 yang saya tidak akan pimpin selepas ini, kita akan menang jika kita bersih tapi kalau kita kotor, rasuah tidak peduli siapa jadi pemimpin kita akan dikalahkan,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Amal PH di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, malam tadi.
Pengerusi PH itu berkata derma dan bidaan pada majlis itu tidak menjanjikan sebarang keistimewaan kepada penderma atau mereka yang membida.
Menurutnya, kerajaan mengadakan majlis sedemikian kerana tidak mahu menjadikan pungutan wang satu rasuah.
“Bagi mereka yang menderma malam ini atau membeli meja, saya minta maaf kerana tiada keistimewaan bagi kamu semua. Kalau nak sesuatu dari kerajaan, caranya ialah bersaing dalam proses tender yang terbuka kepada semua.
“Kita tidak mampu memberi apa-apa keistimewaan dalam kerajaan. Inilah kerajaan PH kerana perlu menentukan segala yang dilakukan bersih daripada rasuah. Tiada ‘cash is king’ (wang adalah raja).
“Kalau ada sesiapa nak menghulurkan sesuatu untuk mendapat sesuatu layanan, saya minta maaf, mereka akan dituduh kerana menghulur rasuah kepada kerajaan,” katanya.
Majlis makan malam amal PH itu berjaya mengumpul RM2.885 juta melalui penjualan meja (RM1.665 juta) dan bidaan gambar-gambar pemimpin PH (RM1.22 juta).
Dr Mahathir, dalam pada itu berkata beliau yakin rakyat akan merasa lega pada tahun depan apabila ekonomi negara beransur pulih walaupun ketika ini rakyat masih belum dapat menikmati hasil proses pemulihan.
Justeru, beliau meminta Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, bermurah hati membantu golongan miskin dengan apa sahaja wang yang dimiliki kerajaan ketika ini.
“Tiada peruntukan dalam undang-undang untuk memberi bantuan, kita pun tiada duit yang banyak, tetapi dengan duit yang ada ini kita akan membantu kerana kita tidak dapat menunggu proses pemulihan ini,” katanya.
Dr Mahathir berkata kerajaan PH sentiasa mendengar suara rakyat dan jika sesuatu tuntutan dibuat secara aman, kerajaan akan mengambil berat pandangan mereka dan melakukan apa sahaja untuk menolong mereka.