PASIR PUTEH, 1 Sep – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan berjaya menahan sebuah bot nelayan asing warga Vietnam sedang melakukan aktiviti perikanan di perairan Kelantan pada Selasa.
Pengarah Maritim Negeri Kelantan, Kepten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab Rahman berkata, 2 bot peronda APMM sedang melaksanakan Op Khas Naga Barat, Op Khas Gamar serta Op Damai telah diaturgerak untuk memburu bot nelayan Vietnam yang dikesan semakin agresif akhir-akhir ini.
“Sebuah bot nelayan berwarna biru dan kelabu dalam keadaan mencurigakan berjaya dikesan pada jam 6.10 petang,
“Bot berkenaan bertindak melarikan diri setelah menyedari kehadiran penguatkuasa namum gagal apabila berjaya dipintas serta dikepung oleh kedua-dua bot peronda di kedudukan lebih kurang 55 batu nautika daripada muara Tok Bali,
“Hasil penggeledahan mendapati bot nelayan warga Vietnam tersebut mempunyai 6 kru termasuk tekong serta kesemuanya warnanegara Vietnam,” jelas beliau.
Menurutnya, tekong gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran melakukan aktiviti perikanan di perairan Malaysia.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan atau cuba menangkap ikan di perairan Malaysia serta bot turut disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 16 (3) akta yang sama kerana kerana gagal memaklumkan pegawai berkuasa melalui radio atau faksimili tentang nama negara, bendera, lokasi laluan dan destinasi vesel, dalam hal memasuki perairan perikanan Malaysia,
“Bagi kesalahan di atas, kesemua suspek boleh dihukum di bawah Seksyen 25 (a) iaitu hukuman denda sehingga RM6 juta kepada tekong dan RM600 ribu ke atas setiap kru. Bot dan peralatan menangkap ikan juga boleh dilucut hak kepada kerajaan Malaysia jika sabit kesalahan,” ujarnya.
Jelas beliau, kesemua yang ditahan berumur antara 32 hingga 52 tahun turut tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah dan akan disiasat di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63.
“Hasil pemeriksaan ke atas bot berkenaan mendapati lebih kurang 1.1 tan ikan dipercayai telah ditangkap diperairan negara dan kesemua mereka termasuk bot dibawa ke jeti Maritim Kelantan untuk tindakan lanjut,
“Jumlah keseluruhan rampasan termasuk bot, hasil tangkapan ikan, bahan bakar diesel lebih kurang 500 liter dan peralatan menangkap ikan dianggarkan bernilai RM365 ribu,” katanya. -airtimes.my