Pasir Gudang, 7 Apr – Pakatan Harapan (PH) secara rasminya sah menggunakan logo dan simbol Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Malam tadi, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) itu dengan spontan mencabar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak supaya menangkapnya.
Berucap dalam ceramah Pakatan Harapan (HARAPAN) di Pasir Gudang malam tadi, Dr Mahathir berkata langkah Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) membubarkan sementara BERSATU tidak akan menjejaskan mereka daripada terus melawan BN.
“Malam ni saya pakai baju Pribumi (BERSATU). Hey Datuk Najib, datanglah… Datang tangkap saya, tangkap semua orang,” katanya sambil disambut dengan tepukan oleh hampir 4,500 orang yang memenuhi kawasan padang Taman Bukit Dahlia, Pasir Gudang malam tadi.
Tun Dr Mahathir yang dikenali dengan sifatnya yang bersahaja, sinis serta spontan kemudian menyatakan BERSATU tidak menghiraukan arahan ROS berkenaan.
“Kononnya Pribumi (BERSATU) diharamkan, tidak boleh ada apa-apa kegiatan pun sebab kita diharamkan.
“Tuan-tuan dan puan-puan, saya kata: Piraaah!
“Apa kami nak buat, kita buat juga. Tak boleh pakai baju, saya pakai juga baju, tak boleh mesyuarat (parti), semalam kami bermesyuarat. Tak boleh jumpa media, kita jumpa media.
“Apa yang dikatakan salah, tidak boleh dilakukan oleh Pribumi, kita akan lakukan beramai-ramai,” katanya.