KUALA LUMPUR, 30 Okt – Malaysia akan memberi perlindungan kepada pelabur asing yang berhasrat untuk melabur di negara ini tetapi bimbang berdepan layanan buruk akibat rasuah ketika berurusan dengan pegawai kerajaan, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.
Ketika memberi jaminan itu, Perdana Menteri turut menggesa pelabur yang berdepan masalah sedemikian untuk tampil dan membuat laporan mengenai sebarang salah laku.
“Tiada sebarang laporan mengenainya (rasuah). Kita sendiri bersedia untuk membuka sebarang siasatan jika ada sesiapa yang tahu mengenai perbuatan rasuah ini.
“Tampil dan maklumlah (kepada kita) dan kita akan melindungi anda serta mengambil tindakan ke atas pegawai yang melakukan kesalahan rasuah itu,” katanya.
Perdana Menteri berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Sidang Kemuncak Anti-Rasuah 2018 di sini, hari ini.
Mengulas selanjutnya, Dr Mahathir berkata ramai pelabur yang sebelum ini enggan melabur di Malaysia kini berbuat demikian selepas kerajaan Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran negara ini.
Malah, kata beliau, tidak seperti kerajaan terdahulu, tiada siapa pun dalam pentadbiran sekarang yang meminta 30 peratus bahagian saham secara percuma sebagai syarat meluluskan permohonan projek.
“Mereka (pelabur) menyatakan rasa gembira dengan layanan yang diterima daripada kerajaan ini,” kata beliau.
– BERNAMA