SHAH ALAM, 9 Jun – Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, berpandangan bahawa Festival Bon Odori yang telah diraikan di Malaysia sejak berpuluh tahun, adalah hanya satu perayaan kebudayaan.
Menerusi kenyataan yang disiarkan di laman Facebook Selangor Royal Office, Baginda bertitah, festival berkenaan diraikan bagi mengeratkan semangat muhibah di antara rakyat Malaysia dengan komuniti masyarakat Jepun yang bekerja dan bermastautin di negara ini.
Titah Baginda, ia menjadi popular apabila banyak syarikat-syarikat dari Jepun melabur dan membuka cawangan kilang mereka di Selangor.
Justeru, Baginda bertitah menjelaskan, Bon Odori menjadi platform memperkenalkan budaya hiburan Jepun di samping merapatkan hubungan antara rakyat kedua-dua buah negara.
“Sambutan Bon Odori di Malaysia adalah lebih kepada festival kebudayaan yang mempamerkan budaya tradisional rakyat Jepun khususnya tarian, persembahan gendang, perhiasan tanglung, pakaian dan makanan tradisi Jepun, serta produk makanan tempatan,
“Ia juga dipromosikan sebagai hari untuk menyatukan kembali keluarga dan rakan-rakan yang sudah lama tidak bertemu,” jelas kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, Baginda sendiri pernah menghadiri sambutan perayaan ini pada tahun 2016 diiringi oleh Duta Besar Jepun ke Malaysia dan menerusi pemerhatian Baginda, sambutan Bon Odori tidak melibatkan upacara berbentuk keagamaan atau ritual (syirik) yang boleh memesongkan akidah mereka yang hadir menyaksikan.
“Bagaimanapun, Baginda telah menitahkan pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan wakil Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) untuk hadir ke festival tersebut bagi mendapatkan gambaran sebenar dan memastikan sambutannya tidak merosakkan akidah umat Islam,
“Apa saja bentuk budaya yang diamalkan oleh setiap masyarakat di dunia ini, sememangnya ada hubungkait dengan agama. Namun seiring peredaran zaman, amalan-amalan budaya ini tidak lagi menonjolkan ciri-ciri keagamaan,” titah Baginda.
Sultan Selangor bertitah turut menegaskan, pihak-pihak tertentu khususnya ahli-ahli politik tidak menggunakan isu-isu yang menyentuh sensitiviti agama sebegini untuk kepentingan peribadi dan meraih populariti semata-mata.
“Baginda menggesa mereka agar tidak sewenang-wenangnya melabelkan sesuatu perkara itu negatif tanpa membuat kaji selidik yang mendalam. Mereka juga perlu berlaku adil dalam membuat apa jua kenyataan umum yang melibatkan keharmonian bermasyarakat,
“Sultan Sharafuddin mencadangkan agar Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad untuk hadir ke festival berkenaan pada 16 Julai ini supaya dapat memahami perbezaan di antara agama dan budaya,
“Malah, baginda juga tidak mahu beliau (Idris) menggunakan platform Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk membuat kenyataan yang mengelirukan dan tidak tepat serta boleh menjejaskan imej dan reputasi Jakim,” titah baginda.
Baginda turut berharap supaya rakyat Selangor yang berbilang bangsa akan terus dapat hidup bertoleransi dalam suasana muhibah dan harmoni. -airtimes.my