KUALA LUMPUR, 29 Jul – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melalui Markas Wilayah Udara 2 (MAWILUD 2) bersama agensi pasukan keselamatan awam di Sabah telah melaksanakan Latihan Kelawar Siri 14/23 bermula pada 18 hingga 26 Julai lalu.
TUDM dalam satu hantaran berkata, latihan ini telah dilaksanakan melibatkan beberapa kawasan di Sabah iaitu Tawau, Semporna dan Lahad Datu serta bantuan dari Pusat Bantuan Operasi TUDM (PBOU).
Menurut TUDM, latihan ini telah melibatkan, Markas Angkatan Tugas Bersama 2 (MK ATB 2), Eastern Sabah Security Command (ESSCOM), Civil Aviation Authority of Malaysia (CAAM) dan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).
Jelasnya, latihan yang melibatkan anak-anak kapal pesawat helikopter EC 725 AP dan Pasukan Khas TUDM (PASKAU) telah berjaya mencapai objektif yang telah ditetapkan iaitu memfokuskan kepada Interoperability serta kemampuan beroperasi secara bersama.
“Objektif lain yang turut dicapai adalah membantu meningkatkan kompetensi anak-anak kapal dan anggota PASKAU dari segi kecekapan, perancangan dan pengurusan latihan,
“Selain itu, latihan ini turut meningkatkan pentadbiran domestik, kejuruteraan, pengurusan materiel dan bekalan logistik serta pengurusan ruang udara,” jelas TUDM dalam satu hantaran di laman media sosialnya, hari ini.
TUDM turut memaklumkan, Latihan Kelawar pada tahun ini telah menyaksikan penglibatan seramai 138 orang peserta, 3 buah aset udara iaitu helikopter EC 725 AP dari No 5 skn serta No 10 skn dan aset sokongan dari pasukan sahabat di Tawau, Semporna termasuk Pulau Pandanan.
Tambahnya, latihan ini juga dapat menilai fasa pertama WIRA HELO bagi Pertandingan Jaguh 2023 melibatkan elemen Fleet Helikopter.
“Pertandingan ini telah melibatkan anak kapal dan tim kejuruteraan. Penilaian dan pemarkahan bagi pertandingan ini telah dilaksanakan oleh pihak MPOU-JKO melibatkan penilaian dalam penerbangan mencari dan menyelamat (SAR) di perairan,
“Yang kedua adalah penerbangan taktikal melibatkan pelaksanaan dalam operasi Insertion end Extraction (HIE) yang membolehkan pihak PASKAU untuk menyusup masuk dan keluar dari kawasan operasi,” ujar TUDM lagi.
Majlis Penutup latihan ini telah disempurnakan oleh Panglima Wilayah Udara 2, Mejar Jeneral Datuk Wan Amin Hafiz Wan Mahmud TUDM.-airtimes.my