[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=yhRwDsQ7oiE[/embedyt]
KUALA LUMPUR, 13 OKT – Ribuan rakyat Malaysia termasuk pemimpin kerajaan dan parti pembangkang bersatu bagi menyatakan sokongan serta solidariti terhadap nasib yang menimpa bumi Palestin dalam Himpunan Solidariti Bersama Gaza di Masjid Negara, hari ini.
Perhimpunan aman tersebut menyaksikan tokoh-tokoh pemimpin dari parti yang berbeza dan wakil dari Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) mengetepikan ideologi dan perbezaan politik hadir sebagai tanda solidariti kepada perjuangan rakyat Palestin ketika ini yang sedang dihancurkan oleh rejim Zionis Israel.
Beberapa pemimpin parti dan NGO berucap, antaranya Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu menegaskan, kekejaman tentera Israel perlu ditamatkan dengan serta merta dan membebaskan Palestin.
“Kita menentang bukan kerana nama Israel, bukan nama Bani Israel. Kita menentang kerana negara itu diwujudkan dengan merampas tanah penduduk Palestin,
“Ertinya negara ini dibentuk atas keganasan, kalau kita terima cara Israel membentuk kerajaan kita boleh nanti ambil mana-mana negara untuk dijadikan negara kita,
“Ini bukan fenomena dunia, kali ini kita yakin Israel akan dikalahkan. Sikap mereka yang anti kaum dan agama lain perlu ditamatkan. Rakyat Palestin mesti kembali ke tanah air mereka,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Ahmad Fadhli Shaari selaku penganjur himpunan berharap mesej yang disampaikan seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan parti sampai ke pihak terbabit.
“Ketika kita sedang berhimpun hari ini, seluruh Umat Islam turut berhimpun di seluruh negara di masjid-masjid yang telah terpilih di seluruh negara selepas menunaikan solat jumaat hari ini,
“Kita harapkan mesej ini sampai kepada Israel, sampai ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sampai ke kedutaan-keduaan negara-negara yang mendokong penjajahan Israel,
“Himpunan ini tidak akan terhenti pada hari ini sahaja tetapi akan diteruskan melalui kempen-kempen penyatuan seluruh umat Islam di Malaysia. Kita hantar nota bantahan, kita kutip sumbangan untuk kita hantar ke Palestin yang paling penting kita bantu saudara-saudara kita di Palestin,” jelasnya lagi.
Turut hadir dan memberi ucapan ialah Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin; bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad; Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh: Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli dan Ketua Pemuda DAP, Dr Kelvin Yii Lee Wuen.
Himpunan tersebut juga melibatkan ribuan hadirin yang hadir memberi sokongan tanda solidariti kepada rakyat Gaza di Palestin yang sedang dalam keadaan getir dan kritikal ketika ini.
Peserta yang hadir turut membawa bendera Palestin dan poster-poster anti-Israel. -airtimes.my
#semasa #Israel #Malaysia #airtimes #Palestin