KUALA LUMPUR, 7 Feb – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerbu beberapa pejabat Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan menyiasat dokumen-dokumen penting melibatkan isu integriti yang membabitkan beberapa pegawai kanan agensi berkenaan.
Sumber SPRM berkata, serbuan dijalankan di Ibu pejabat MARA, Ibu Pejabat MARA Corporation dan di sebuah syarikat setiausaha korporat di sekitar ibu kota pada jam 10.30 pagi tadi.
Difahamkan serbuan berkenaan dijalankan bagi mengumpul dokumen berkaitan salah laku yang dikaitkan dengan beberapa pegawai agensi itu yang sebelum ini ditularkan di laman sosial.
Pada Sabtu, SPRM mengesahkan menerima satu laporan berhubung dakwaan wujudnya isu integriti melibatkan beberapa pegawai kanan MARA yang sedang disiasat secara dalaman oleh agensi tersebut.
“SPRM memaklumkan pihaknya memandang serius dakwaan itu dan siasatan akan dijalankan bermula Isnin dengan mengambil keterangan beberapa saksi daripada MARA Corporation,
“Siasatan akan dijalankan di bawah Seksyen 23 (1) Akta SPRM 2009 yang berkaitan dengan kesalahan mana-mana pegawai badan awam yang menggunakan jawatan atau kedudukannya untuk mendapatkan suapan,” menurut kenyataan itu.-airtimes.my