KUALA LUMPUR, 8 Nov – Presiden Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyifatkan manifesto Barisan Nasional (BN) berkaitan pendidikan ‘sekadar meletak duit’ dan ia tidak menyelesaikan masalah itu di negara ini.
Penyandang Parlimen Muar menyifatkan manifesto BN itu tidak langsung menyenaraikan masalah yang berlaku dalam sistem pendidikan negara.
“Saya nak tekankan sikit soal pelaksanaan kerana contoh terbaik adalah mereka janjikan 2 tahun lepas, (yang) sekarang pun banyak masalah,
“Kedua, saya lihat one by one policy plan. Lagi sekali, mereka tidak menangani masalah asas pendidikan di Malaysia,
“Penyelesaian dia (BN) cuma letak banyak duit. Itu bukan penyelesaian,” katanya ketika program hi-tea bersama anak muda Gombak dan Menteri Besar Selangor, Datuk Sri Amirudin Shari di Gombak, Selangor hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai manifesto BN yang diumumkan oleh pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi malam tadi, berhubung tawaran pendidikan percuma untuk pelajar kumpulan B40 bagi pendidikan tinggi.
Semalam, BN dalam manifestonya berikrar memberikan pendidikan tinggi percuma kepada pelajar B40 serta akan menghapuskan buku teks dalam sistem pendidikan sebagai sebahagian daripada pendigitalan sistem persekolahan.
Zahid Hamidi menjelaskan, BN berjanji akan melaksanakan proses pembelajaran dijalankan menggunakan komputer riba.
Mengulas lanjut, Syed Saddiq turut mengulangi janji kerajaan terdahulu mengenai bantuan tablet percuma ketika COVID-19 untuk pelajar B40 yang dilengah-lengahkan.
“Contoh paling mudah, bila negara dilanda pandemik, kajian Kementerian Pendidikan sendiri mendapati di Semenanjung sahaja, 1daripada 3 pelajar tidak mempunyai gajet untuk pembelajaran dalam talian. Itu belum kira Sabah dan Sarawak,
“Pendidikan secara dalam talian mereka terputus terus 2 tahun. Sudah habis pandemik, baru sampai gajet. Malaysia sangat lambat. Itu belum lagi sebut masalah internet,” tegasnya.
Bagaimanapun, beliau berkata mana-mana idea baik yang dibentang perlu diraikan, namun pelaksanaannya perlu dipertimbang sepenuhnya.
“Sebab itu saya tekankan tenteng pelaksanaan. Pilih kerajaan yang lebih telus dan amanah, rakyat perlu buat pilihan,” ujarnya. -airtimes.my