KUALA LUMPUR, 9 OKT – Pengumuman Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) yang membuat tawaran am untuk pembelian Boustead Plantations Sdn Bhd (BPlant) adalah bagi memastikan proses penstrukturan semula syarikat itu dapat diteruskan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, penstrukturan itu akan diteruskan kepada pemegang saham minoriti membabitkan 30 peratus dalam kalangan awam dan 33 peratus yang dipegang Boustead Holdings Bhd (Boustead).
“Langkah itu adalah untuk memberikan autonomi serta flesksibiliti kepada LTAT bagi menentukan hala tuju strategik serta meningkatkan potensi operasi Bplant selain menjalankan aktiviti tambah nilai,
“Ia sekali gus mengukuhkan kedudukan kewangan Bplant dan seterusnya Kumpulan Boustead,” katanya ketika Sesi Penerangan Menteri Pertahanan berkenaan Kumpulan Boustead di Dewan Rakyat hari ini.
Beberapa anggota Dewan Rakyat menyertai perbahasan dengan ada yang membangkitkan persoalan serta cadangan berhubung isu berkaitan LTAT dan Boustead.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata, Kementerian Kewangan bersetuju menyediakan jaminan kerajaan kepada LTAT untuk membolehkan ia mendapatkan pinjaman RM2 bilion daripada institusi kewangan.
Jelasnya, jaminan itu bagi membolehkan LTAT melaksanakan tawaran am ke atas semua saham Bplant.
Bagaimanapun, Mohamad menafikan dakwaan kononnya jaminan itu dianggap sebagai kerajaan memberikan geran tunai kepada LTAT.
“Ini saya mahu betulkan persepsi dulu. Persepsi mengatakan kerajaan bagi ‘cash grant’ (geran tunai) kepada LTAT, itu tak betul. Kita tak dapat ‘cash grant’ (geran tunai) apa-apa, sebab kita mahu dapatkan pinjaman dari institusi kewangan dengan segera kerana kita perlu bayar banyak,
“Cash flow (Aliran tunai) kita pun dalam keadaan yang tidak mengizinkan, jadi kita perlu segera. LTAT mempunyai kemampuan, tetapi dengan jaminan kerajaan ini akan mempermudahkan lagi untuk mengurus permohonan untuk kita dapat kemudahan kewangan daripada institusi kewangan dalam negara,
“Dalam masa sama, jaminan kerajaan itu taklah tinggi sangat kadar faedah akan dikenakan oleh institusi kewangan,” katanya lagi.
Bagi memastikan jaminan kerajaan itu dimanfaatkan, Mohamad berkata, LTAT akan melaksanakan penstrukturan organisasi perniagaannya menerusi Pelan Strategik 2023-2025 (MAMPAN25).
“Saya yakin isu legasi ini dapat diselesaikan. Penstrukturan kumpulan Bousted dapat dilaksanakan dengan komitmen semua pihak,
“Kejayaan pensturukturan ini akan membolehkan LTAT memperoleh poftfolio yang lebih seimbang dan yang penting, kita mahu capai nisbah solvensi melebihi 100 peratus dan peningkatan pulangan pelaburan dari anak syarikat LTAT serta merealisaikan visi LTAT menjadi kumpulan persaraan yang mapan,” ujar Menteri Pertahanan.
LTAT sebelum ini dilaporkan merancang untuk membeli Bplant pada harga tawaran RM1.55 sesaham, susulan kegagalan cadangan pelupusan 33% kepentingan dalam Bplant oleh LTAT dan Boustead Holdings Bhd (Boustead) kepada Kuala Lumpur Kepong Bhd (KLK).
Menerusi satu kenyataan, LTAT menjelaskan, pembelian Bplant ini bertujuan untuk meneruskan tawaran am BPlant pada harga tawaran RM1.55 sesaham, tertakluk kepada kelulusan kawal selia. -airtimes.my