TANAH MERAH, 12 Mac – Tindakan seorang tekong warga tempatan yang cuba menyeludup masuk 9 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) dengan menggunakan laluan yang tidak sah di sempadan Malaysia-Thailand, gagal apabila kesemua mereka diberkas oleh anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) kelmarin.
Menurut Markas Divisyen Ke 2 Infantri Malaysia (2 Div), kejadian tersebut berlaku pada 10 Mac lalu di sektor Kawasan Tanggungjawab Briged Kelapan Infantri Malaysia (KTJ 8 Bgd).
Pihak 2 Div menjelaskan, bertindak atas maklumat perisikan, pasukan beroperasi telah berjaya menjejaki seterusnya menahan sekumpulan PATI yang baru sahaja memasuki Malaysia secara haram dengan menyeberangi Sungai Golok berdekatan Kampung Bukit Nangka.
“Hasil pemeriksaan mendapati PATI yang ditahan merupakan 7 orang warganegara Myanmar dan 2 orang warganegara India dan berumur antara 22 hingga 55 tahun,
“Turut ditahan adalah seorang lelaki warga tempatan berumur 37 tahun yang dipercayai bertindak sebagai tekong,” jelas 2 Div dalam kenyataan pada Sabtu.
Turut dirampas adalah 4 buah telefon bimbit, barangan kemas, sejumlah wang dalam matawang Malaysia, Thailand dan India dengan anggaran nilai keseluruhan sebanyak RM5,145.73.
“Kes seterusnya diserahkan kepada Balai Polis Bukit Bunga untuk tindakan selanjutnya,” jelas kenyataan itu lagi.
Pihak 2 Div menambah, pasukan beroperasi akan terus mempertingkatkan rondaan dan kawalan disempadan bagi mengekang jenayah rentas sempadan khususnya melibatkan PATI. -airtimes.my