KUALA LUMPUR, 21 Dis – Majlis Pemulihan Negara (MPN) yang ditubuhkan sewaktu negara berdepan pemulihan ekonomi negara pasca COVID-19 ditamatkan.
Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, MPN dibatalkan kerana berlaku pertindihan jawatan yang ditubuhkan bagi memenuhi keperluan ketika penubuhannya.
“MPN dibatalkan, itu salah satu pertindihan jawatan yang diletakkan untuk memenuhi keperluan ketika itu,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Kabinet, hari ini.
Pada 21 Julai 2021, kabinet yang diketuai oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada ketika itu bersetuju untuk menubuhkan MPN menggantikan Jawatankuasa Khas Kabinet Pemulihan Negara.
Majlis itu dipengerusikan oleh bekas Perdana Menteri Ke-8, Tan Sri Muhyiddin Yassin sejak 4 September 2021 yang bertindak untuk merangka strategi dan hala tuju Pelan Pemulihan Negara (PPN) untuk pertimbang menteri selepas negara dilanda pandemik COVID-19.
Dalam perkembangan lain, Anwar turut berkata, kerajaan juga sedang mengkaji beberapa lagi badan dan agensi kerajaan, termasuk Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC) bagi mengurangkan tanggungan kerajaan.
“Ada cadangan berkenan GIACC dan kita akan teliti kerana banyak badan yang berlaku pertindihan. Kalau bidang itu boleh dikendalikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu kita nak kurangkan kerana tiap agensi bertindih akan menanggung kos yang tinggi,
“Yang penting dalam Pusat Governans (GIACC) itu, prinsip itu diterima tapi tak boleh terlalu banyak sepertimana saya lakukan dengan Ketua Setiausaha Negara,
“Malah tugas Perdana Menteri (PM) pun banyak saya lepaskan supaya dipertanggungjawab kepada Timbalan-Timbalan PM, tapi kalau boleh digabungkan lebih elok,” katanya lagi. -airtimes.my