[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=p7P7Uuec0mo[/embedyt]
KUALA LUMPUR, 5 Jul – Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields sudah mengenal pasti 2 individu yang melarikan diri dari kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di sebuah Projek Perumahan Rakyat (PPR), semalam.
Ketua Polis Daerah Brickfields, ACP Anuar Omar berkata, pihaknya menerima satu laporan berkaitan video tular berdurasi 2 minit 4 saat itu memaparkan 3 individu sedang keluar dari kawasan PKPD di Kampung Pasir, Kuala Lumpur.
“Video itu memaparkan 2 lelaki berbangsa India dan seorang lagi bangsa (tidak dapat dikenal) pasti telah melarikan diri menerusi pagar berduri jenis dawai besi,
“Pemeriksaan di lokasi mendapati terdapat dawai besi telah rosak dipercayai digunakan 3 individu berkenaan untuk melarikan diri,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Tambahnya, individu yang dikenal pasti masing-masing berumur 34 dan 46 tahun itu turut mempunyai rekod jenayah di bawah Akta Dadah Merbahaya selain samun dan pecah rumah.
“Usaha mengesan individu-individu terlibat sedang giat dijalankan,
“Kes disiasat di bawah Seksyen 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988,” tambahnya.
Menurutnya lagi, orang awam dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan video tular itu dan hendaklah mematuhi semua peraturan-peraturan yang ditetapkan kerajaan.
“Sebarang perlanggaran Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) boleh dikenakan tindakan undang-undang,
“Maklumat lain berkaitan jenayah boleh disalurkan menerusi Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222 atau mana-mana balai polis berdekatan,” ujarnya. – airtimes.my