KUALA LUMPUR, 13 Feb – Dewan Perniagaan Malaysia-China (MCCC) berharap Malaysia dan China dapat mencapai persefahaman berhubung projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) dan projek lain yang relevan untuk meminimumkan kerugian atau mencapai penyelesaian ‘menang-menang’.
Katanya, ini akan mewujudkan suasana pelaburan dan ekonomi yang mesra kepada semua pelabur asing termasuk dari China.
“Langkah itu dijangka dapat menjadi model berjaya bagi China untuk berunding dengan negara lain di sepanjang inisiatif Jalur dan Jalan,” kata MCCC seperti dilaporkan Bernama.
Dewan itu menggesa individu dan pertubuhan bukan kerajaan untuk memberikan masa dan ruang yang mencukupi kepada kedua-dua kerajaan dalam mengendalikan isu menyelubungi ECRL dan memberikan ruang kepada pihak berkuasa relevan untuk menjalankan rundingan.
MCCC yakin kedua-dua kerajaan amat berhati-hati dalam mengendalikan isu ECRL kerana ia membabitkan hubungan baik antara Malaysia dan China.
“Kami optimis dengan kerjasama ekonomi dan perdagangan antara kedua-dua negara, dan kami akan melakukan yang terbaik untuk membantu kerjasama mereka secara menyeluruh dan proses kemakmuran bersama dengan memanfaatkan sepenuhnya perusahaan swasta dan memberi kerjasama kepada dasar kerajaan baharu yang pro-perniagaan,” katanya.
Projek ECRL sepanjang 688 kilometer dilancarkan pada 9 Ogos 2017 dan dijadual siap pada 2024.
Bagaimanapun, projek bernilai RM81 bilion itu ketika ini sedang dikaji semula oleh kerajaan.