KUALA LUMPUR, 14 Ogos – Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memohon maaf berikutan tindakan beliau melabelkan beberapa persatuan belia sebagai ‘macai politik’.
Syed Saddiq menjelaskan bahawa gelaran itu hanya ditujukan kepada persatuan yang secara terbuka menyokong parti politik terutamanya ketika musim kempen pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lepas.
“Saya minta maaf kerana ‘pukul rata’ hal ini, saya rasa tidak betul kalau semua anak muda dan persatuan dipanggil macai. Ia (panggilan macai politik) harus ditujukan kepada kepimpinan persatuan anak muda yang telah memberikan ‘endorsement’ terbuka kepada Barisan Nasional (BN) yang pada masa sama mengeluarkan kenyataan seperti tanpa BN atau pemuda UMNO, tak akan wujud persatuan belia itu.
“Saya tekankan di bawah pimpinan kementerian yang baharu ini, pihak persatuan tidak perlu nyatakan sokongan terbuka kepada kerajaan sebaliknya saya lebih suka kalau mereka (persatuan) lebih jujur mengkritik kerajaan, tentang apa yang mereka suka dan tak suka,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri sesi perjumpaan bersama kepimpinan Majlis Belia Malaysia (MBM), hari ini. Turut hadir Timbalan Presiden MBM Mohd Zaidi Aziz.
Pada sidang media itu, Mohd Zaidi turut mengakui dan memohon maaf kepada semua pihak atas tindakan persatuan itu yang secara terang-terangan menyokong kerajaan terdahulu pada PRU14.
Mengulas mengenai manifesto 100 hari kerajaan Pakatan Harapan, Syed Saddiq berkata kerajaan perlu memberi penerangan dan bersikap jujur kepada rakyat sekiranya ada manifesto yang memerlukan lebih masa untuk dilaksanakan.
“Rakyat berhak mengetahui kedudukan manifesto PH, sekiranya ada manifesto yang masih belum dapat ditunaikan, kerajaan perlu berterus terang* rakyat sentiasa memerhati dan menilai,” katanya.