MOSKOW, 27 SEPT – Kehadiran kereta kebal M1A1 Abrams ke Ukraine yang dihantar oleh Amerika Syarikat tidak memberi apa-apa kesan kepada Rusia.
Sebelum ini, kumpulan pertama M1A1 Abrams daripada 31 buah yang dijanjikan oleh Washington telah pun diterima oleh Kyiv. Kehadiran kereta kebal itu telah disahkan sendiri oleh Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy di saluran rasmi Telegram beliau pada Isnin lalu.
Bagi Timbalan Pengerusi Majlis Keselamatan Rusia, Dmitry Medvedev, kehadiran kereta kebal itu hanya membawa kepada pertembungan terus antara negara itu dengan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).
“Rusia tidak mempunyai banyak pilihan melainkan berhadapan dengan konfrontasi secara berdepan dengan blok Fascist NATO,” kata bekas Perdana Menteri Rusia itu di saluran Telegram beliau.
Dalam kenyataan beliau, Medvedev turut menyifatkan berhadapan dengan NATO sama seperti situasi yang dihadapi oleh Rusia (pada ketika itu Kesatuan Soviet) dengan perikatan tentera Paksi yang dipimpin oleh Hitler semasa Perang Dunia Kedua.
“Bezanya, NATO adalah besar dari segi saiz,” katanya.
Beliau menyatakan, terdapat pelbagai perkembangan akan membawa kepada pertembungan terus antara Moskow dengan NATO. Antaranya kehadiran kereta kebal Abrams, dan peluru berpandu balistik taktikal ATACMS kepada Ukraine.
Medvedev turut mengutuk tindakan Parlimen Kanada yang memberikan penghormatan kepada bekas anggota tentera Nazi pada Jumaat lalu.
“Kami bersedia untuk hadapi konflik, walaupun kesannya adalah lebih teruk daripada apa yang kita lihat pada tahun 1945,” katanya.
ABRAMS M1A1 dan peluru uranium
Kereta kebal Abrams sudah tentu amat dikenali umum akan peranannya semasa Perang Teluk 1991 dan Perang Teluk 2003. M1A1 merupakan antara salah satu varian utama kereta kebal siri Abrams yang dioperasikan oleh Amerika Syarikat.
M1A1 merupakan versi tingkat upaya dari M1. Ia dihasilkan pada sekitar 1985 hingga 1992. Varian ini mempunyai dilengkapi dengan meriam 120mm smoothbore M256.
Pada 6 September lalu, pihak Pentagon mengesahkan peluru uranium susut (editor: sumber istilah dari DBP) atau depleted uranium (DU) akan dihantar ke Ukraine bagi pengoperasian Abrams oleh tentera Kyiv. Pembekalan peluru ini adalah sebahagian daripada Bantuan Keselamatan Tambahan yang diberikan oleh Washington.
Pemberian peluru DU ini sudah tentu menimbulkan kontroversi memandangkan ia merupakan produk sampingan dari proses tenaga nuklear.
Elemen DU turut digunakan pada perisai Abrams, bagi memberi lebih perlindungan kepada kereta kebal utama tersebut.
Depleted Uranium
DU merupakan saki baki produk sampingan yang dihasilkan dari proses tenaga nuklear. Ia dihasilkan selepas bijih uranium mentah menjalani proses diperkaya (enriched) . Proses ini akan menyingkirkan isotop atau unsur paling radioaktif, Uranium-235.
Baki uranium yang tinggal dikenali sebagai DU.
Pun begitu, DU masih bersifat radioaktif tetapi tidak membahayakan selagi ia memasuki badan.
Dalam operasi Abrams, DU digunakan untuk lapisan perisai dan juga peluru. Peluru DU dikatakan ampuh memandangkan ia mempunyai ketumpatan yang tinggi, hampir kali ganda berbanding plumbum.
Peluru ini dilaporkan berupaya untuk menembusi lapisan armor mana-mana kereta kebal utama.
DU disifatkan sebagai peluru kontroversi kerana didakwa memberikan kesan sampingan kepada kesihatan.
Agensi Pelindungan Alam Sekitar Amerika Syarikat (EPA) telah mengeluarkan garis panduan khusus berkaitan DU. Antara aspek yang diberikan penekanan dalam garis panduan ini adalah untuk “mengurangkan pendedahan di kawasan pengilangan dan lapang sasar yang menggunakan DU”.
“DU memancarkan sinar partikel alpha, yang tidak berupaya untuk menembusi kulit,
“Tetapi sekiranya partikel ini ditelan atau disedut (memasuki badan), ia akan menyebabkan kerosakan pada buah pinggang,” kata garis panduan itu.
Tambahnya, partikel DU tidak selalunya ditemui di dalam udara kecuali di kawasan pengilangan yang menghasilkan elemen terbabit.
Reaksi Rusia
Melihat kepada pengumuman oleh Washington untuk membekalkan peluru DU kepada Ukraine, Kremlin menyifatkannya sebagai satu jenayah.
Perkara tersebut disuarakan oleh Timbalan Menteri Luar Rusia, Sergey Ryabkov.
“Perkara (membekalkan DU) ini bukan sahaja meningkatkan ketegangan, malah ia menunjukkan pengabaian terhadap alam sekitar yang terkesan dengan penggunaan senjata tersebut di medan pertempuran,
“Secara tidak langsung, ia merupakan satu tindakan jenayah,” kata Ryabkov yang dipetik oleh agensi TASS.
Kebimbangan yang sama disuarakan oleh pihak kedutaan Rusia di Washington. Menurutnya, pakej bantuan terbaharu oleh Amerika Syarikat kepada Ukraine adalah “tidak berperikemanusiaan” dan “menunjukkan obsesi Washington untuk melihat kekalahan Rusia”.
Dalam satu kenyataan, wakil Kremlin menegaskan letupan dari senjata tersebut akan menghasilkan asap radioaktif.
“Partikel uranium akan terperangkap dalam salur pernafasan dan terkumpul di buah pinggang serta hati,
“Malah, ia akan menyebabkan kanser dan menggagalkan fungsi tubuh badan,” jelas Kedutaan Rusia di Amerika Syarikat.
Tambah kenyataan itu, perkara tersebut adalah berdasarkan ‘jejak uranium’ yang ditinggalkan oleh Washington di Balkan dan Iraq.
“Ribuan penduduk di kawasan tersebut terkesan dengan tumor,” ujarnya.
Tidak semua Abrams dilengkapi dengan perisai DU
Amerika Syarikat sememangnya diketahui amat berjaga-jaga dengan penjualan senjata berteknologi sensitif. Sebagai contoh jet pejuang F-22A tidak dibenarkan untuk pasaran eksport antarabangsa.
Penggunaan DU pada Abrams pula meliputi perisai kereta kebal dan peluru. Washington mempunyai polisi tersendiri pada eksport perisai armor yang berasaskan DU sehinggakan negara rakan mahupun sekutu tidak dibenarkan untuk memiliki teknologi terbabit pada Abrams yang diterima oleh mereka.
Eksport M1A1 Abrams oleh Washington kepada Australia dan juga pemberian kepada Iraq tidak melibatkan komponen perisai DU. Eksport ini dilindungi oleh polisi, yang mungkin boleh diubah pada bila-bila masa.
Ia agak berbeza dengan rang undang-undang persekutuan yang melarang penjualan F-22A. Pun begitu, ini tidak bermakna komponen perisai DU akan diterapkan pada M1A1 yang diberikan oleh Washington kepada Kyiv, tanpa mengambil kira pelbagai faktor.
Kereta kebal yang dibekalkan kepada Ukraine berkemungkinan besar tidak melibatkan komponen DU pada perisai mereka. Ini memandangkan kerja-kerja pengubahsuaian M1A1 Abrams untuk Ukraine telah dijalankan di Jerman. Pengubahsuaian ini juga difahamkan turut mengeluarkan beberapa komponen teknologi sensitif yang lain.
Keputusan ini mungkin bersesuaian dengan melihat usaha dan tindakan Rusia terhadap mana-mana kenderaan tempur Ukraine yang diberikan oleh NATO akan dikaji oleh Moskow. – airtimes.my