KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) hari ini mengumumkan Timbalan Pengerusi DAP Pahang, M. Manogaran sebagai calon parti itu bagi bertanding merebut kerusi Parlimen Cameron Highlands dalam Piilihan Raya Kecil (PRK) yang dijadualkan akan berlangsung pada 26 Januari depan.
Pengerusi PH, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, pihaknya optimis calon tersebut mampu membawa kemenangan kepada parti dalam PRK Parlimen Cameron Highlands nanti.
“Kita meletakkan calon yang lama bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu.
“Kita sudah melakukan rundingan daam mesyuarat tadi, calon yang kita pilih ialah M.Manogaran. Kita akan menang dalam PRK nanti. Kita tak tahu siapa akan bersaing dengan kita, namun walau siapa pun bertanding, kita akan selesaikan masalah, ” katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di sini sebentar tadi.
Pada 30 November lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan kemenangan Datuk C. Sivarraajh dari Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Cameron Highlands pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) adalah terbatal dan tidak sah ekoran berlakunya amalan rasuah untuk mempengaruhi pengundi di kawasan itu.
M.Manogaran adalah bekas calon parti DAP yang tidak berjaya merampas kerusi itu dari Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.