KUALA LUMPUR, 27 Sept – Mesej berkaitan penculikan kanak-kanak bagi tujuan penjualan organ seperti yang tersebar di media sosial ketika ini disahkan sebagai palsu.
Ketua Komunikasi Korporat Polis Diraja Malaysia (PDRM), Asisten Komisioner Skandaguru Anandan berkata, mesej berkenaan meminta orang ramai berwaspada dengan kejadian penculikan kanak-kanak, yang terlebih dahulu diberi bahan terlarang sehingga menyebabkan mereka tidak mampu melawan.
Menurut beliau, mesej tersebut juga mendakwa, mangsa akan dibawa lari ke negara jiran menggunakan lori ayam bagi tujuan pemindahan organ.
“Antara lain mesej yang tersebar itu mendakwa, pihak berkuasa berjaya menjumpai 6 kanak-kanak yang diculik selepas melakukan pemeriksaan terhadap lori tersebut,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Skandaguru menjelaskan, semakan polis mendapati mesej berkenaan mula tersebar sejak 2017 dan diulang siar di beberapa platform media sosial.
“Polis mengesahkan tiada sebarang laporan diterima berkaitan penculikan dan penjualan organ kanak-kanak seperti didakwa,” ujarnya.
Tegas beliau, mana-mana individu yang terbabit menyebarkan berita palsu boleh didakwa mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia atas kesalahan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian.
“Orang ramai dinasihatkan agar tidak mudah mempercayai dan menyebarkan berita yang tidak berasas sehingga menimbulkan ketakutan awam,” tegasnya. -airtimes.my