KUALA LUMPUR, 13 Sept – Tuntutan Perikatan Nasional (PN) agar penyandang yang melompat keluar dari UMNO dikekalkan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) antara faktor utama mengapa parti itu enggan berkerjasama dengan dengan PN.
Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan berkata, UMNO mahukan kembali kerusi-kerusi dimenangi yang kemudian penyandangnya melompat ke Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).
“Antara banyak sebab kenapa kami tak berpakat dengan PN ialah perkara ini. Kerana ‘demand’ PN itu merangkumi suatu tuntutan bahawa sesiapa yang melompat harus dihormati sebagai incumbent dan tidak diganggu,
“UMNO tak boleh terima kerana calon itu menang pun atas tiket dan titik peluh UMNO keseluruhannya, bukan tubuh badan individu semata-mata,” katanya dalam satu hantaran di media sosialnya malam tadi.
Beliau berkata demikian bagi memberi respon kepada kenyataan Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berhubung sikap UMNO yang menolak kerjasama dengan BERSATU dalam satu wawancara baru-baru ini.
Dalam masa yang sama, Shahril turut mempersoalkan mengapa Tuan Ibrahim tidak mengunakan formula tersebut pada PRU14 yang lalu.
“Keadaan itu sama seperti PAS dengan AMANAH di mana PAS tetap meletakkan calon di kawasan penyandangnya iaitu bekas ahli PAS yang melompat ke parti AMANAH,
“Sebagai contoh Datuk Mahfuz Omar menang di Pokok Sena atas tiket PAS. Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa menang di Parit Buntar atas tiket PAS. Sama juga Khalid Samad dan Hanipa Maidin,
“Kemudian 2015 mereka keluar parti masuk AMANAH. Lalu ‘dilanggar’ juga oleh PAS semasa PRU14 2018 di tempat sama. Tiada siapa tuduh PAS penting diri atau penting kuasa, atau cuba memaksa PAS beri laluan demi ‘kemaslahatan’ lebih besar dan sebagainya,” ujarnya.
Mengulas saranan Tuan Ibrahim supaya UMNO melihat kerjasama dengan PAS dan BERSATU dalam kerangka lebih besar, Shahril berkata, secara amnya, kerangka besar juga turut merangkumi pelbagai parti lain selain UMNO, PAS dan BERSATU.
“Tapi PAS tak pernah bercakap hendak kerjasama dengan AMANAH untuk pilihanraya,
“Mereka juga ada peranan dalam kerangka besar itu (kalau ikut logik kerangka besar). Samalah kami tak akan bercakap kerjasama dengan BERSATU,” tegasnya. -airtimes.my