LUMUT, 30 Nov – Buat pertama kali, Markas Angkatan Bersama (MK AB) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah memulakan inisiatif kerjasama bagi melaksanakan ulang bekal untuk pasukan Malaysian Battalion (MALBATT) 850 di Lubnan dengan menggunakan kapal TLDM iaitu KD MAHAWANGSA.
Panglima Angkatan Bersama, Leftenan Jeneral Datuk Yazid Arshad TUDM menjelaskan, KD Mahawangsa akan melaksanakan ulang bekal terhadap trup MALBATT 850 dengan menggunakan aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebagai alternatif kepada saluran komersil yang digunakan selama ini.
Selain itu, program ini juga dapat menganalisa dan menguji segala aspek RANKON (Op EVACMILFIL) MALBATT 850 serta kesiapsiagaan warga termasuk aset dalam melaksanakan misi ulang bekal jarak jauh ke luar negara.
“Aturgerak ini juga dapat menguji kemahiran warga kapal dalam melaksanakan tugas hakiki terutamanya Bridge Team ketika melalui kawasan navigasi terhad seperti Terusan Suez,
“Penugasan tim logistik terutamanya dalam aspek pengurusan, pengendalian rekod, dan sistem di kapal yang digunakan untuk penghantaran logistik,
“Inisiatif ini juga sebagai alternatif kepada kaedah ulangbekal yang lazimnya dilaksanakan iaitu menggunakan khidmat syarikat pengangkutan swasta seperti Malaysian Airlines dan juga syarikat perkapalan swasta melalui Khidmat sewaan atau kontrak,” jelasnya.
Beliau berkata demikan selepas Majlis Pelepasan Tali KD Mahawangsa sempena Pelayaran ke Lubnan, di Pangkalan TLDM Lumut, pada Rabu.
Menurutnya, penugasan ini berlanjutan daripada penerimaan aset tambahan iaitu 6 buah Trak 3 tan GS Cargo, 2 buah Trak 1 Tan Ambulan, peluru dan bahan letupan untuk MALBATT 850 di Lubnan.
“Selain itu, KD Mahawangsa juga mengaturgerakkan peralatan komunikasi dan barangan CIMIC serta keperluan membawa pulang barangan tertentu daripada pegangan MALBATT 850,
“Pada masa yang sama, KD Mahawangsa juga akan menyertai International Fleet Review di Bangladesh semasa dalam pelayaran menuju ke Pelabuhan Beirut, Lubnan,” jelasnya.
KD Mahawangsa bakal menempuh pelayaran selama kira-kira 2 bulan dan dijangka tiba di Pelabuhan Beirut, Lubnan pada 2 Januari 202 untuk proses ulang bekal serta dijadualkan tiba semula di Tambatan Pangkalan Lumut pada 4 Februari 2023.
Pelayaran pada kali ini membawa seramai 203 orang terdiri daripada 18 pegawai, 169 krew kapal dan juga 16 petugas bantuan sokongan yang diketuai oleh Pegawai Memerintah KD Mahawangsa, Kepten Mohd Amin Mat Tahir TLDM.
KD Mahawangsa merupakan salah sebuah kapal sokongan yang dioperasikan oleh TLDM. Walaupun sudah menjangkaui usia 40 tahun, kapal ini masih mampu memainkan peranannya sebagai kapal sokongan pelbagai peranan iaitu dengan membawa barangan keperluan logistik bagi misi ke Lubnan.
Kesiagaan kapal ini yang akan merealisasikan misi membawa bantuan ke Lubnan membuktikan profesionalisme dan kemampuan warga TLDM dalam memastikan kapal ini berada dalam siap siaga yang tinggi. -airtimes.my
Galeri gambar: