BEIJING, 25 SEPT – Pakar pertahanan China menyifatkan penjualan jet pejuang F-16 kepada Vietnam oleh Amerika Syarikat mempunyai agenda tersendiri.
Menurut pakar pertahanan dari Beijing, Wei Dongxu, F-16 yang akan diterima oleh Vietnam akan menggantikan peranan jet pejuang keluaran Rusia yang pada ketika ini sedang digunakan oleh angkatan udara negara itu.
“Penjualan ini akan meningkatkan perikatan pertahanan Amerika-Vietnam di rantau ini,
“Selain daripada itu, Amerika Syarikat akan menambah tapak mereka dirantau ini,
“Malah, Washington akan mula melakukan pelbagai permintaan dari Vietnam termasuk menggunakan pangkalan udara dan laut mereka,” kata Wei yang dipetik oleh Global Times.
Beliau mendakwa, F-16 yang akan diterima oleh Vietnam berkemungkinan besar adalah jet pejuang terpakai dari Washington.
Pada masa yang sama, Wei menegaskan, pembelian F-16 dari Amerika Syarikat akan meletakkan negara itu di bawah telunjuk Washington.
“Polisi pertahanan dan aktiviti ketenteraan Vietnam akan bergantung kepada keputusan Amerika Syarikat,” katanya.
Laporan oleh media antarabangsa turut menyatakan, F-16 akan dijual dalam bentuk pakej dan merupakan antara topik utama dalam perbincangan dua hala semenjak beberapa bulan yang lalu. – airtimes.my