[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=q1MGPkZl_aM[/embedyt]
LUMUT, 27 Apr – Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Abdul Rahman Ayob menjelaskan, perolehan Littoral Mission Ship (LMS) Batch Pertama kurang menepati kehendak semasa pengoperasian Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada masa kini.
Sehubungan itu, beliau berkata, perolehan LMS Batch Kedua akan dilengkapi dan memenuhi keperluan terkini serta di masa hadapan dalam menjaga kedaulatan perairan negara.
“LMS Batch Kedua merupakan salah satu penjajaran baharu,
“LMS yang kita nyatakan di dalam 15-to-5 itu melibatkan 18 buah platform. Jadi, kita ada 4. Tetapi, kita menetapkan LMS Batch Pertama itu tidak begitu menepati keperluan kita,
“Justeru, kita mencadangkan supaya perubahan LMS Batch 2 (LMSB2) yang kita rasa lebih sesuai dan memenuhi keperluan masa kini dan masa hadapan kita,” katanya pada sidang media selepas sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-89 di Pangkalan TLDM Lumut, hari ini.
Beliau turut mensasarkan agar penjajaran berkaitan Pelan Transformasi 15-to-5 dapat diselesaikan pada tahun ini dan mempunyai sedikit perubahan serta peningkatan.
“Sebab perbincangan 15-to-5 masih lagi diteruskan. Tetapi, penjajaran itu masih lagi dibincangkan. Dan kita jangkakan kita akan selesai pada tahun ini. Ada sedikit perubahan,
“Sebab itu adalah salah satu bahagian dalam penjajaran dan penjajaran semula yang kita telah buat. Yang kita akan dokumentasikan di dalam kita punya 15-to-5 program,
“Dan ia memerlukan masa sekurang-kurangnya 5 atau 6 pembentangan Rancangan Malaysia Ke (RMK),” ujarnya lagi.
Tegasnya, segala pelan strategik ini juga bergantung kepada kemampuan kerajaan dalam membelanjakan aset pertahanan.
“Jadi, komitmen kerajaan pun kita pertimbangkan. Bukan setakat perbelanjaan di aspek aset pertahanan saja, tetapi banyak lagi perkara-perkara lain yang perlu mereka lihat dan juga beri perhatian,” jelasnya.
Sebelum ini, Abdul Rahman dalam perutusannya menyatakan, Pelan Transformasi 15-to-5 akan mengalami sedikit perubahan.
Jelasnya, perubahan itu dibuat adalah berdasarkan landskap geo-strategik masa kini dan kekangan kewangan serta cabaran dalam industri pertahanan sehingga Pelan yang dihasilkan 5 tahun dahulu, perlu dibuat penyesuaian yang sewajarnya.
Dalam pembentangan Belanjawan 2023 lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan perolehan 3 buah kapal LMSB2 untuk TLDM.
Abdul Rahman menyatakan kapal LMSB2 yang pertama akan diterima pada tahun 2027.
Pada tahun lalu, TLDM menyuarakan keperluan mereka untuk memperolehi kapal LMSB2 bagi mengisi jurang keupayaan kombatan sementara menunggu projek Littoral Combat Ship (LCS) siap.
Menurut Panglima Tentera Laut, pihaknya telah mengenal pasti model kapal yang sesuai untuk mengisi keperluan tersebut.
4 buah kapal LMS Batch Pertama(kelas Keris) diperolehi dari China dan hanya dilengkapi dengan meriam 30mm.
LMS merupakan sebahagian daripada jujukan rancangan strategik 15-to-5 di mana ia bertindak sebagai kapal sokongan kepada ketumbukan utama armada. Kapal ini dijuga digariskan untuk melaksanakan peranan konstabulari semasa aman.
Dalam perancangan 15-to-5 yang asal, LMS direka untuk mempunyai ciri-ciri modular yang membolehkan kapal ini dipertingkatkan keupayaan setara dengan kapal kovet sekiranya diperlukan. – airtimes.my