KUALA LUMPUR, 15 Mac – PAS perlu mencari jalan penyelesaian isu serius jenayah seksual dan kemiskinan di Kelantan dan Terengganu yang merupakan negeri di bawah pentadbiran mereka daripada terus menyasarkan komuniti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).
Bekas Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago berkata, PAS nampaknya lebih gemar menyuarakan kebencian terhadap LGBT daripada berusaha menyelesaikan pelbagai isu di negeri pantai timur yang ditadbirnya.
“Memetik laporan terdapat 224 kes jenayah seksual di Kelantan pada 2021, yang mana kebanyakan mangsa adalah remaja berusia antara 13 dan 16 tahun,
“Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat baru-baru ini menyuarakan kebimbangan mengenai jumlah kes penderaan seksual melibatkan kanak-kanak di Kelantan, dengan 59 kes membabitkan kanak-kanak didaftarkan di Mahkamah Sesyen Kota Bharu tahun lepas, berbanding 18 kes melibatkan orang dewasa,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Tambah wakil DAP itu, turut dilaporkan bahawa setiap satu daripada isi rumah Orang Asli di Terengganu hidup di bawah paras kemiskinan RM2,208.
“Kelantan berada di tempat kedua, dengan 83.3% masyarakat Orang Aslinya hidup dalam kemiskinan,
“Sudah tiba masanya untuk PAS melihat isu pembangunan di negeri yang ditadbirnya, di samping peningkatan jenayah seksual,
“Menyasarkan golongan LGBT adalah taktik murah dan tidak membantu untuk mencipta kemajuan,” ujarnya lagi.
Semalam, media tempatan melaporkan, Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Ahmad Marzuk Shaary dilaporkan mendakwa bahawa gaya hidup LGBT songsang dan di luar batasan kehaiwanan.
Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari juga menggesa tindakan tegas diambil berikutan terdapat unsur jelas LGBT yang dilihat pada perhimpunan wanita di hadapan Sogo dan Dataran Merdeka pada Ahad lalu.
Ketua Pemuda PAS itu mempersoalkan sama ada Putrajaya akan memperkenalkan undang-undang yang keras untuk membendung kebangkitan jelas kumpulan pro-LGBT itu.
Pada Isnin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar telah mengarahkan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) untuk bekerjasama dengan polis dalam siasatan perhimpunan yang dipercayai dihadiri seramai 150 pengikut.
Beliau berkata, JAWI selaku pihak berkuasa agama di Wilayah Persekutuan tidak akan berkompromi dengan sebarang perbuatan yang bertentangan dengan ajaran Islam serta undang-undang.
Tegasnya, apa-apa usaha untuk mempromosi serta menormalisasikan gaya hidup songsang yang bercanggah dengan nilai Islam dan fitrah insan adalah tidak boleh diterima sama sekali.
Sehingga semalam, pihak polis telah memanggil 7 orang orang terdiri daripada peserta, penceramah, penganjur dan pemerhati perarakan yang bertemakan Women’s March Malaysia itu untuk dirakam keterangan. -airtimes.my