KUALA LUMPUR, 26 Jun – Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, rakyat tidak memerlukan ‘pakar formula’, tetapi sebaliknya satu penyelesaian konkrit bagi menangani kos sara hidup dan isu sekuriti makanan negara.
Menerusi hantaran di media sosialnya, Ahmad Zahid membidas kenyataan Rafizi Ramli yang memperlekehkan cadangan parti terbabit menubuhkan Lembaga Unggas Kebangsaan dan pada masa sama Rafizi pula mencadangkan badan khas untuk menguruskan risiko gangguan bekalan makanan.
“Rafizi katakan cadangan tersebut akan membazir wang rakyat dan menambah lagi karenah birokrasi. Tapi beliau sendiri pula mencadangkan untuk mewujudkan satu badan bebas untuk menguruskan risiko gangguan bekalan makanan,
“Tidakkah itu akan menambah lagi birokrasi dan sedikit sebanyak menggunakan wang rakyat?” soalnya pada Ahad.
Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, ia bukan kali pertama bekas ahli Parlimen Pandan itu memberikan cadangan atau kritikan yang ‘self contradictory’.
“Kita semua masih ingat siapa Rafizi dan bermacam dakyah penipuan yang ditaburkan kepada rakyat sejak PRU13 lagi melalui kempen ‘Bina Semula Negara’ beliau,
“Rakyat perlukan solusi kepada permasalahan mereka. Rakyat tidak kisah tentang formula. Terutama sekali formula daripada Rafizi bersama Pakatan Harapan (PH) sendiri tumbang selepas 22 bulan,” ujarnya.
Semalam, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO mencadangkan kerajaan agar segera mewujudkan Lembaga Unggas Negara bagi menyelesaikan isu berkaitan bekalan ayam supaya ia dapat ditangani secara menyeluruh.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, ia termasuk menyelesaikan isu daripada aspek pengeluaran anak ayam, kos penternakan dan dedak supaya ia tidak mudah dimanipulasi pihak kartel berkepentingan.
Namun, cadangan itu mengundang kritikan bakal timbalan presiden PKR yang menyifatkan penubuhan sebuah lembaga kebangsaan bagi menangani isu terbabit sebagai satu jenaka.
“Idea UMNO untuk menangani masalah kenaikan kos makanan dan sara hidup ialah dengan menubuhkan Lembaga Unggas (Ayam) Kebangsaan. Selepas ini apabila harga kambing pula naik, UMNO akan menubuhkan Lembaga Kambing Kebangsaan,
“Akhirnya, tindakan ini hanya menambah bebanan kewangan kepada rakyat yang terus menanggung gaji, elaun dan belanja ahli-ahli politik dari parti-parti mereka yang dilantik untuk menjadi bos-bos kepada lembaga ayam, lembaga kambing dan lain-lain,” kata Rafizi dalam kenyataan, semalam. -airtimes.my