KUALA LUMPUR, 19 Jul – Panglima Medan Barat Tentera Darat (PMBTD), Leftenan Jeneral Datuk Azizan Md Delin diraikan dalam penuh adat istiadat ketenteraan pada majlis Perbarisan Penghargaan PMBTD ke-19 sempena persaraan beliau di Dataran Panglima Tentera Darat (PTD), Kem Perdana Sungai Besi di sini, hari ini.
Beliau yang tiba pada jam 8.30 pagi diberi tabik hormat dan seterusnya memeriksa perbarisan dengan menaiki kenderaan istiadat serta diikuti perbarisan berjalan membabitkan 16 pegawai dan 480 anggota lain-lain pangkat (LLP) yang diketuai oleh Pegawai Memerintah Batalion ke-2 Rejimen Askar Melayu Diraja (2 RAMD), Leftenan Kolonel Ahmad Muzaimi Mohd Ali.
Acara berakhir dengan persembahan ‘street lining’ bermula dari Bulatan 1 Rejimen Askar Melayu Diraja (1 RAMD) hingga ke Balai Pengawal Utama, sebagai penghormatan kepada PMBTD ke-19.
Terdahulu, Azizan dalam ucapannya, menyeru semua peringkat anggota menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab dan komited.
“Tugas mempertahankan negara memerlukan semua peringkat fokus kepada tanggungjawab, terus berlatih untuk kekal siaga demi melaksanakan amanah yang diberi sebaik mungkin dan tidak mengkhianati ikrar kesatria,” katanya.
Sepanjang perkhidmatannya selama 41 tahun, beliau telah menyandang pelbagai jawatan penting dalam TD mahupun ATM iaitu sebagai Panglima Briged Kelapan Infantri; Panglima Divisyen Kedua Infantri; Asisten Ketua Staf Perkhidmatan Anggota; Ketua Staf Markas Tentera Darat dan Ketua Eksekutif di Malaysian Institute of Defence and Security (MiDAS).
Turut hadir pada majlis itu, Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Seri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi; Panglima Divisyen Kedua Infantri, Mejar Jeneral Datuk Mardzuki Muhammad; Panglima Divisyen Ketiga Infantri, Mejar Jeneral Datuk Mohamad Ab Rahman dan Panglima Divisyen Keempat Infantri, Datuk Redzuan Baharuddin.
Azizan akan bersara wajib bermula pada 23 Feb 2020.