KUALA LUMPUR, 19 Jun – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berjaya menumpaskan sindiket menguruskan Program Rekalibrasi Pulang yang didalangi 2 warga Bangladesh dalam serbuan di sebuah bilik sewa premis kedai yang terletak di Lebuh Ampang, Kuala Lumpur, pada Selasa.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, operasi yang dijalankan Bahagian Perisikan dan Operasi Khas JIM Putrajaya telah berjaya menahan 2 lelaki warga Bangladesh berusia 38 dan 53 tahun yang disyaki dalang sindiket itu.
“Salah seorang suspek yang ditahan merupakan individu yang dikehendaki oleh Jabatan Imigresen Negeri Kedah rentetan tangkapan ejen Program Rekalibrasi di negeri tersebut pada bulan Mac 2021 yang lalu,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Beliau berkata, hasil kerjasama dan maklumat yang disalurkan oleh orang ramai, sindiket ini berjaya dikesan beroperasi di sebuah bilik sewa premis kedai yang terletak di Lebuh Ampang, Kuala Lumpur.
“Semasa serbuan dilakukan pasukan telah menemui 4 naskah pasport, 4 dokumen perjalanan Bangladesh yang disyaki untuk digunakan dalam Program Rekalibrasi, puluhan slip temujanji online (STO) di Pejabat Imigresen Malaysia di pelbagai negeri, borang Permit Pergerakan PKP untuk tujuan rentas negeri, dokumen kedutaan Bangladesh dan lapan kad bank,
“Kesemua barang yang ditemui dipercayai berkait dengan aktiviti yang dijalankan,” ujarnya.
Menurutnya, modus operandi sindiket ini adalah mensasarkan warga Bangladesh yang telah tinggal lebih masa atau tidak mempunyai dokumen di negara ini.
“Sindiket ini juga disyaki mengeluarkan Dokumen Perjalanan Bangladesh secara tidak teratur dan memperdayakan warganegara Bangladesh dalam urusan Program Rekalibrasi Jabatan Imigresen Malaysia,” jelasnya.
Tambahnya, berdasarkan maklumat awal, sindiket mengenakan bayaran antara RM1,100 hingga RM2,600 bagi setiap permohonan Rekalibrasi.
“Manakala bagi permohonan mendapatkan dokumen perjalanan bayaran yang dikenakan diantara RM1,000 hingga RM1,500,
“Berdasarkan slip STO yang dijumpai sindiket ini disyaki telah menguruskan lebih daripada 200 permohonan sepanjang Program Rekalibrasi dijalankan,” katanya lagi.
Khairul Dzaimee berkata, kedua-dua suspek ditahan dan disiasat dibawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Pasport 1966.
Sementara itu, beleiau menegaskan JIM tidak pernah melantik mana-mana ejen bagi menguruskan Program Rekalibrasi ini dan orang ramai dinasihatkan supaya berurusan terus dengan Jabatan ini dan tidak mempercayai pihak ketiga bagi menguruskan Program Rekalibrasi. – airtimes.my