KUALA LUMPUR, 5 Apr – Pakatan Harapan (PH) memaklumkan kadar tol di 4 lebuh raya yang tidak dinaikkan sehingga tempoh tamat konsesi syarikat itu berakhir merupakan hasil kesinambungan dasar dimulakan gabungan tersebut pada Oktober 2019.
Majlis Presiden PH dalam satu kenyataan berkata, ketika menjadi kerajaan pada masa itu, Majlis Jemaah Menteri telah memutuskan secara dasar untuk memulakan proses mengambil alih lebuhraya tersebut.
“Maka apa yang diumumkan ini adalah dasar PH yang diteruskan hingga ke penghujungnya,
“Ini membuktikan bahawa jika PH terus mentadbir lebih dari 22 bulan dan Langkah Sheraton tidak berlaku, pelbagai dasar yang membantu meringankan beban rakyat dapat dilaksanakan,” katanya.
Kenyataan itu dikeluarkan secara bersama oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden AMANAH, Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Madius Tangau.
“Sebagai contoh, kerajaan PH telah memulakan usaha menamatkan konsesi lebuhraya dengan mengurangkan kadar tol Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) sebanyak 18 peratus pada 2020,
“Malah PH telah merancang untuk memberi diskaun 30 pertaus dan tol percuma selama 16 jam sehari di 4 lebuhraya ini,” katanya.
Katanya, 4 lebuhraya itu adalah Lebuhraya Shah Alam (KESAS), Sistem Pengurusan Air Banjir dan Terowong (SMART), Lebuhraya Skim Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (SPRINT) dan Lebuhraya Damasara-Puchong (LDP).
Tambahan, keempat-empat lebuhraya ini dilaporkan akan diambil alih oleh sebuah entiti iaitu Amanat Lebuhraya Rakyat Bhd (ALR) pada nilai RM5.48 bilion.
Majlis Presiden PH turut menggesa kerajaan untuk memberi diskaun tambahan kepada pengguna 4 lebuhraya ini, serta memberi penjelasan penuh ke Parlimen berhubung hak milik ALR.
“Terutama dari sudut kewajipan kewangan dan ketelusan perbelanjaan ALR,” jelasnya.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kadar tol di 4 lebuh raya tersebut tidak akan dinaikkan dan dikekalkan sehingga tamat konsesi.
Jelasnya, langkah tersebut dibuat selepas kerajaan bersetuju dengan cadangan penstrukturan semula 4 syarikat konsesi lebuh raya tersebut. – airtimes.my