KUALA LUMPUR, 9 OKT – Syarikat Lumut Naval Shipyard (LUNAS) telah berjaya menyiapkan reka bentuk terperinci (detailed design) Kapal Tempur Pesisir (Littoral Combat Ship, LCS) mengikut jadual.
Perkara tersebut dimaklumkan oleh pihak LUNAS secara eksklusif kepada Air Times.
Jelasnya, reka bentuk terperinci tersebut telah siap mengikut jadual seperti yang termaktub dalam kontrak.
“Pihak LUNAS berjaya menyiapkan Detailed Design mengikut tempoh yang termaktub di dalam kontrak dan telah diserahkan kepada TLDM pada 25 Ogos 2024 yang lalu,” katanya dalam satu maklum balas kepada Air Times.
Pada 23 September lalu, pihak LUNAS secara rasmi telah menyerahkan detailed design kepada TLDM.
Menerusi hantaran di akaun media sosial rasminya, LUNAS menjelaskan penyerahan rasmi ini menandakan peristiwa penting dalam fasa projek LCS.
Pencapaian tersebut merupakan langkah kritikal dalam menyiapkan projek LCS bagi memuktamadkan fasa pembinaan.
“Ini memastikan LCS dibina mengikut piawaian kualiti tertinggi dan memenuhi spesifikasi yang ditetapkan,
“Pencapaian ini bukan sahaja menyerlahkan komitmen LUNAS yang tidak berbelah bahagi terhadap kecemerlangan dalam setiap fasa projek tetapi juga mempamerkan usaha kerjasama LUNAS dan TLDM.
“Bersama-sama, kami mewujudkan semangat bekerja sebagai satu pasukan, bersatu dalam dedikasi kami untuk menyempurnakan pembinaan LCS untuk negara,” ujar LUNAS. – airtimes.my
#AirTimes #Pertahanan #LUNAS #TLDM