TAWAU – 15 Sept – Pasukan Polis Marin (PPM) Tawau telah menahan dan mengusir 4 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia yang cuba memasuki perairan laut Haji Kuning, pada Selasa.
Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Tawau, Deputi Superintendan Polis, Ridzauddin Selamat berkata, pengusiran telah dibuat oleh anggota pasukannya yang sedang menjalankan rondaan Operasi Benteng di kawasan tersebut.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati juragan warga tempatan membawa penumpang 2 orang lelaki dewasa dan 2 perempuan dewasa berumur lingkungan 23 hingga 38 tahun itu berstatus warganegara Indonesia.
“Juragan serta penumpang telah diberi penerangan berkaitan Prosedur Operasi Standard (SOP) COVID -19 sepertimana yang telah ditetapkan dalam perintah Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1998,
“Bot tersebut diiring keluar dari perairan negara dan diarahkan supaya tidak kembali semula ke negara ini bagi mengekang penularan wabak penyakit COVID-19,”jelasnya dalam hantaran di media sosial PPM Wilayah 4, hari ini.
Ridzauddin menjelaskan, Op Benteng kini memberi fokus kepada pendekatan pengusiran terhadap PATI dan kemasukan warga asing berbanding tangkapan sebelum ini.
Tambahnya, pihak berkuasa mengambil pendekatan tersebut memandangkan antara punca peningkatan kes COVID – 19 dalam negara terutamanya di pantai timur Sabah adalah disebabkan kemasukan warga asing pada sebelum ini.
Dalam masa yang sama, Ridzauddin orang ramai terutamanya masyarakat persisir pantai untuk menyalurkan sebarang maklumat kepada pihak berkuasa bagi memastikan kesalahan-kesalahan yang melanggari undang-undang negara dapat dibendung seterusnya mengekalkan keamanan serta keselamatan. -airtimes.my