KUALA LUMPUR, 19 Mei – Panglima Wilayah Laut 2 Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Telok Sepanggar, Laksamana Madya Datuk Roslan Mohd Yunus dilantik sebagai Komander National Task Force (NTF) yang baharu.
Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam kenyataan berkata, Roslan menggantikan Laksamana Madya Datuk Aris Adi Tan Abdullah, yang akan memulakan cuti persaraan, setelah mencurahkan bakti selama 42 tahun dalam perkhidmatan ATM, hari ini.
Majlis penyerahan tugas Komander NTF antara Aris Adi Tan dan Roslan disaksikan oleh Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM di Wisma Pertahanan pada Rabu.
“Pelantikan Roslan adalah bagi memastikan kesinambungan Operasi Benteng (Op Benteng) berjalan seperti biasa dan tidak tergendala sehingga Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersedia mengambil alih operasi itu dari NTF seperti dirancangkan iaitu pada 30 Jun ini,” katanya.
Mengulas lanjut, penubuhan NTF adalah bagi memperkasakan kawalan sempadan negara dari kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) untuk mengekang penularan wabak COVID-19 masuk ke Malaysia.
“Mengimbas kembali, Aris Adi Tan sebelum menjawat jawatan sebagai Komander NTF, beliau merupakan Panglima Armada Barat di Pangkalan TLDM Lumut,
“Beliau yang sepatutnya menjalani persaraan wajib pada tahun 2021 namun dengan perlantikan sebagai Komander NTF, tempoh perkhidmatan beliau telah ditambah setahun lagi,” ujarnya.
Menurutnya, dibawah kepimpinan Aris Adi Tan, pencapaian Op Benteng telah menunjukkan banyak kejayaan contohnya kawalan sempadan negara terkawal dan penangkapan PATI semakin berkurangan.
Selain kejayaan memperketatkan kawalan sempadan, NTF juga berjaya menjadi pemudah proses kerja setiap agensi dalam mencapai misi yang diamanahkan.
“NTF juga berjaya menyelaras perkongsian maklumat perisikan antara agensi yang terlibat melalui pasukan petugas risikan bersama dan mengkoordinasikan perolehan logistik semua agensi terlibat,
“Dengan pengalaman dan keperibadian tinggi yang dimiliki oleh Aris Adi Tan, beliau telah berjaya menyatukan kesemua 19 agensi keselamatan dan penguatkuasaan menjadi sebuah pasukan yang telah dapat merealisasikan hasrat negara dengan lancar serta berkesan sehingga ke hari ini,
“Tugas untuk menyatukan 19 agensi di bawah satu pucuk pimpinan bukannya satu tugas mudah memandangkan setiap agensi mempunyai latarbelakang dan budaya kerja yang berbeza. Kesepaduan ketiga-tiga komponen darat, laut dan udara di bawah NTF juga berjaya melaksanakan Op Benteng secara optimum dengan menggunakan aset sedia ada tanpa mengganggu operasi sedia ada,” jelasnya. – airtimes.my