KUALA NERANG, 7 Feb – Tindakan 6 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk 2 wanita warga Myanmar yang bekerja sebagai penoreh getah secara haram di ladang getah sekitar sempadan Malaysia – Thailand akhirnya terbongkar apabila diberkas oleh anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) pada Ahad lalu.
Pihak Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Div) dalam kenyataan memaklumkan, kejadian tersebut berlaku di sektor Kawasan Tanggungjawab Briged Keenam Infantri Malaysia (KTJ 6 Bgd).
Jelas 2 Div, berpandukan maklumat perisikan yang diperolehi, pasukan beroperasi yang melaksanakan rondaan telah mengesan 3 buah motosikal dinaiki oleh 4 lelaki dan 2 wanita di kawasan ladang getah berkenaan.
Pasukan beroperasi seterusnya bertindak menahan kenderaan tersebut.
“Hasil pemeriksaan mendapati 6 orang awam yang ditahan merupakan PATI warganegara Myanmar yang tidak mempunyai dokumen perjalanan dan permit pekerjaan yang sah,
“Kesemua PATI yang ditahan berumur antara 19 hingga 45 tahun,” jelasnya.
Menurut 2 Div, turut dirampas 3 buah telefon bimbit, sebuah motosikal Yamaha Finn, sebuah motosikal Honda Wave dan sebuah motosikal yang telah diubahsuai.
“Selain itu, 3 bilah parang, 6 bilah pisau pemotong getah, sebuah powerbank, 2 buah headlamp, 6 buah topi, 3 buah pembuka nutt, sebuah beg galas dan sebuah pouchbag turut dirampas,
“Anggaran nilai keseluruhan rampasan sebanyak RM6,809.00,” tambahnya.
Seterusnya, PATI diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Terap.
Tambah pihak 2 Div, pasukan beroperasi akan terus mempertingkatkan rondaan dan kawalan di sempadan bagi mengekang jenayah rentas sempadan khususnya melibatkan PATI. -airtimes.my