KUALA LUMPUR, 7 Apr – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menegaskan sebarang aktiviti penjualan organ di negara ini perlu dianggap amat serius kerana ianya merupakan exploitasi terhadap golongan tertentu dan bercanggah dengan etika perubatan.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sebarang tuntutan mengenai kewujudan aktiviti berkaitan penjualan organ hendaklah diambil serius oleh semua pihak.
Menurutnya, jika terdapat aktiviti melibatkan pemerdagangan manusia untuk tujuan jual beli organ, ia perlu disiasat di bawah Akta Anti-pemerdagangan Orang dan Anti-penyeludupan Migran 2007.
“Sekiranya mana-mana individu atau kumpulan yang mempunyai sebarang maklumat berhubung aktiviti ini, mereka boleh tampil ke KKM atau pihak polis untuk menangani perkara ini,
“Pihak berkuasa boleh mengambil tindakan menggunakan peruntukan sedia ada di bawah Akta-pemerdagangan Orang dan Anti-penyeludupan Migran 2007 untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak atau individu jika pemerdagangan orang berlaku untuk tujuan pengalihan organ secara haram,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau menjelaskan, untuk perkhidmatan pendermaan organ dan transplantasi adalah melibatkan penderma hidup ataupun selepas kematian (kadaverik) serta penerima organ iaitu pesakit yang mempunyai masalah kegagalan organ sama ada buah pinggang, hepar, jantung ataupun paru-paru.
“Dasar KKM ini jelas sebagaimana dalam Akta Tisu Manusia 1974 yang mengawal selia aktiviti pengambilan organ bagi tujuan perawatan daripada penderma kadaverik,” ujarnya lagi.
Dr Noor Hisham berkata, bagi memperketat lagi tadbir urus perkhidmatan transplantasi di negara ini, kementerian telah menubuhkan jawatankuasa transplantasi yang mengawal selia program pendermaan organ tersebut.
Tambahnya, pengawalan itu sama ada bagi kalangan penderma semasa hidup melibatkan pasangan bakal penderma penerima yang tidak mempunyai perkaitan kekeluargaan ataupun melibatkan pasangan bakal penderma-penerima bukan warganegara.
“Jawatankuasa ini akan menilai dengan teliti pelbagai aspek termasuk latar belakang masalah perubatan, kesihatan mental dan juga tahap sosioekonomi untuk semua permohonan pembedahan transplantasi bagi memastikan bakal penderma mempunyai sistem sokongan yang baik, serta kesejahteraan bakal penderma secara amnya tidak terjejas selepas pembedahan dilakukan.
“Pembentukan tadbir urus perkhidmatan yang kemas adalah sangat penting bagi melindungi hak bakal penderma dan memastikan pendermaan organ tidak melibatkan sebarang paksaan ataupun mempunyai unsur pemerdagangan,” tambahnya.
Tegasnya, KKM tidak menyokong mana-mana individu atau organisasi yang terlibat di dalam aktiviti perolehan organ secara haram dan tidak beretika.
“Pihak KKM akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa siasatan sekiranya diperlukan,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, dalam usaha meningkatkan kesedaran masyarakat tentang pendermaan organ dan transplantasi, pihaknya akan terus bekerjasama dengan badan-badan dan organisasi berkaitan bagi meningkatkan kesedaran awam serta pendidikan ke arah pendermaan organ yang beretika.
“KKM menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia agar sentiasa cakna dan berikrar sebagai penderma organ seterusnya memaklumkan hasrat sebagai pengikrar kepada ahli keluarga bagi menjayakan perkhidmatan transplantasi yang beretika di negara ini,” jelasnya lagi.
Pada Isnin lalu, Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, rakyat kini dalam kesusahan sehingga ada yang menjual buah pinggang demi meneruskan kelangsungan hidup berikutan pengeluaran bersasar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak dibenarkan kerajaan.
“Kalau tidak dapat beri keizinan untuk pengeluaran bersasar, apakah cadangan lanjut daripada kerajaan untuk membantu kerajaan untuk bantu rakyat yang susah, yang resah?
“Bahkan, sampai ada kena jual buah pinggang, yang datang berjalan dari Johor ke Istana Negara pada hari ini (Isnin),
“Ini bukan perkara main-main, perkara besar yang melibatkan kepentingan umum. Malangnya, Kementerian Kewangan sampai sekarang, tiada lagi jawapan yang munasabah yang boleh kami berikan kepada rakyat,” katanya dalam sidang media di Lobi Parlimen, pada Isnin.-airtimes.my