KUALA LUMPUR, 10 Jan – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar memaklumkan, kerajaan Arab Saudi bersetuju memberi peruntukkan sebanyak 31,600 kuota haji untuk Malaysia pada tahun ini.
Keputusan itu disampaikan Menteri Haji dan Umrah Kerajaan Arab Saudi, Dr. Tawfiq Fawzan Al-Rabia kepadanya dalam mesyuarat khas sempena Persidangan Perkhidmatan Haji dan Umrah 2023 semalam.
“Bagi pihak Kerajaan Malaysia, saya menzahirkan rasa amat bersyukur dan mengucapkan jutaan terima kasih kepada Kerajaan Arab Saudi atas kuota penuh ini,” katanya menerusi catatan di laman Facebook pada Selasa.
Mohd Na’im berkata dalam mesyuarat tersebut, Dr Tawfiq Fawzan telah memuji Malaysia khususnya pihak Lembaga Tabung Haji (TH) atas pengendalian haji yang terbaik, sistematik dan tahap layanan jemaah haji yang patut dicontohi.
“Saya telah memberikan penegasan bahawa TH akan sentiasa berusaha memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada bakal jemaah haji Malaysia dan akan mematuhi ketetapan daripada Kerajaan Arab Saudi,” katanya lagi.
Tambahnya, beliau yakin penilaian telah dibuat dalam semua aspek bagi memastikan keselamatan bakal jemaah haji dari seluruh dunia terjamin semasa menunaikan rukun Islam yang kelima.
Sehubungan itu, beliau memohon semua umat Islam supaya bersama-sama berdoa kepada Allah SWT agar mempermudahkan perjalanan haji tahun ini serta mendoakan semoga pihak TH dapat menguruskan jemaah haji Malaysia dengan baik dan lancar. -airtimes.my