KUALA LUMPUR, 4 Okt – Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di Sebahagian Kampung Pasir Kelang di Mukim Batu Mengkebang, Kuala Krai, Kelantan berkuatkuasa Rabu ini sehingga 19 Oktober depan.
Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Datuk Rodzi Md Saad berkata, tindakan itu diambil selepas meneliti penilaian oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta trend jangkitan COVID-19 di kawasan terbabit.
“Prosedur operasi standard PKPD adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini,
“PKPD turut dilanjutkan di kawasan Ladang dan Kilang Sawit RMDC Sdn Bhd, di Bukit Koman, Mukim Gali, Pahang bermula dari Rabu ini hingga 19 Oktober depan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Rodzi PKPD di Kampung Garib, Matunggong di Kudat, Sabah yang bermula pada 22 September lalu, ditamatkan esok, seperti yang dijadualkan.
“PKPD di Kampung Dusun Pak Senam di Mukim Ulu Jelai, Lipis Pahang yang bermula 8 Septemebr lalu yang ditamatkan mengikut jadual, esok,
“Selain itu, PKPD di 3 Rancangan FELDA di Bera, Pahang iaitu FELDA Rentam, FELDA Tementi dan FELDA Sebertak yang bermula pada 29 September juga ditamatkan esok, lebih awal daripada yang dijadualkan iaitu pada 12 Oktober ini,” tambahnya. -airtimes.my