PUTRAJAYA, 22 Mei – Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik tiba di Kompleks E Kementerian Pendidikan jam 9.30 pagi, bagi memulakan tugasnya.
Ketibaan Maszlee disambut Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Amin Senin dan pegawai-pegawai kanan kementerian.
Beliau kemudiannya mengetik kad perakam waktu jam 9.33 pagi di aras 10 pejabat baharunya.
Maszlee merupakan antara 13 orang menteri Kabinet baharu yang mengangkat sumpah jawatan semalam di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V.
Melalui pelantikan itu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) kembali berada di bawah satu bumbung setelah dipisahkan pada 2015 selepas berlaku rombakan menteri Kabinet.
Maszlee semalam menyatakan, Kementerian Pendidikan komited melakukan tranformasi sistem pendidikan negara dengan menerapkan elemen penting iaitu sistem pendidikan berteraskan teknologi dan penekanan berkaitan Bahasa Inggeris.
Sehubungan itu perkara berkenaan menjadi fokus kementeriannya selaras dengan aspirasi Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad demi menempatkan Malaysia sebagai negara maju berdasarkan bidang pendidikan.