SEOUL, 6 OKT – Menteri Pentadbiran Program Pemerolehan Pertahanan Korea Selatan, Eom Dong-hwan dilaporkan telah berada di Jakarta bagi membincangkan isu penangguhan pembayaran program jet pejuang KF-21 oleh Indonesia.
Difahamkan, beliau akan berada di negara itu sehingga penghujung minggu Ini.
“Mesyuarat dijadualkan dengan beberapa kekangan kerana pegawai Indonesia yang bertanggungjawab untuk perkara ini sentiasa bertukar,” lapor media Korea Selatan yang memetik sumber tentera.
KF-21 Boramae merupakan program jet pejuang yang diadakan secara bersama Korea Selatan dan Indonesia. Melalui kerjasama tersebut, Korea Selatan akan menanggung sebanyak 80 peratus kos program dan selebihnya oleh Indonesia.
Agensi Yeonhap menyatakan, Indonesia bersetuju untuk menanggung 20 peratus kos keseluruhan dengan nilai US$5.99 billion sehingga 2026. Selain daripada itu, Jakarta akan menerima sebuah prototaip, pemindahan teknologi dan menghasilkan 48 buah jet pejuang itu di Indonesia.
Laporan itu turut mendakwa, Indonesia telah membayar sebanyak USD$206 ribu dan belum lagi melunaskan hampir USD$700 ribu mengikut jadual yang ditetapkan.
Menurutnya, pembayaran program oleh Jakarta terhenti pada Januari 2019 dan dilaksanakan semula pada November tahun lalu.
Pada September lalu, Presiden Indonesia, Joko Widodo dan rakan sejawatannya dari Korea Selatan, Yoon Suk Yeol telah bersetuju untuk meneruskan komitmen bersama dalam program KF-21. – airtimes.my
#AirTimes #Indonesia #Boramae #KF21