SUBANG, 10 Feb – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah mula menghantar bantuan Hospital Medan ke Türkiye, hari ini.
Markas ATM dalam satu kenyataan berkata, penghantaran pertama melibatkan 36 pegawai dan anggota serta peralatan Hospital Medan telah pun bermula pada pukul 3 pagi tadi di Pangkalan Udara Subang.
Air Times difahamkan operasi pertama ini melibatkan 2 buah pesawat A400M yang turut membawa kelengkapan Hospital Medan.
“Tujuan utama pengoperasian Hospital Medan Malaysia (HMM) di Türkiye ini adalah bagi menzahirkan hasrat murni Kerajaan Malaysia dalam memberikan bantuan kemanusiaan kepada mangsa yang terjejas akibat bencana alam berkenaan,
“Fokus utama bantuan adalah bagi menyokong Kerajaan Turkiye melalui bantuan perubatan dan perkhidmatan kesihatan kepada rakyat negara tersebut yang berada dalam kesukaran ketika ini,” kata kenyataan itu.
Majlis Penghantaran Tim Op Starlight (Operasi Pengendalian Hospital Medan Malaysia di Türkiye) telah disempurnakan oleh Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM.
Majlis ini turut dihadiri oleh Emir Salim YÜKSEL, Duta Besar Turki di Malaysia; Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM, Panglima Tentera Udara; Leftenan Jeneral Datuk Seri Mohammad Ab Rahman, Timbalan Panglima
Tentera Darat mewakili Panglima Tentera Darat; Laksamana Madya Datuk Sabri Zali, Timbalan Panglima Tentera Laut, mewakili Panglima Tentera Laut; Leftenan Jeneral Datuk Arman Rumaizi Ahmad, Ketua Staf Markas ATM, Leftenan Jeneral Dato’ (Dr) Zulkeffeli bin Mat Jusoh, Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan ATM dan para Pegawai Kanan ATM.
Dalam ucapan majlis, beliau menyatakan penghantaran petugas Perkhidmatan Kesihatan ATM ke negara itu dilakukan untuk memberikan bantuan perubatan dan kesihatan kepada mangsa gempa bumi yang berlaku di Türkiye.
Tambahnya, situasi semasa pasca gempa bumi di Türkiye yang agak kucar-kacir dan tidak menentu akan menjadi cabaran kepada para petugas berada di sana.
“Oleh yang demikian, amatlah penting untuk Tuan-Puan semua kekal fokus dan bersedia dari aspek fizikal dan mental agar dapat memberikan khidmat bantuan yang terbaik kepada mangsa-mangsa gempa bumi tersebut,
“Buktikanlah kecekapan dan profesionalisme Tuan-Puan sebagai seorang tentera, sebagai doktor, sebagai pegawai perubatan, dan pada masa yang sama, Tuan-Puan turut membawa nama Malaysia, yang harus dijaga di bahu masing-masing,” kata Affendi ketika menyampaikan amanat kepada kumpulan petugas pertama Op Starlight.
Semalam, Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Utama Mohamad Hasan menyatakan petugas perubatan dan Hospital Medan Tahap Tiga ATM beroperasi di Turkiye selama 6 minggu.
“Pihak ATM telah mendapat permohonan daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) setelah berunding dengan Kedutaan Besar Turki di Kuala Lumpur, kita telah bersetuju mengatur gerak kor perubatan ATM untuk menghantar sepasukan hospital medan,” katanya semasa dalam satu sidang media di Kem Lok Kawi.
Sementara itu, Markas ATM menyatakan operasi ini akan melibatkan 106 pegawai dan anggota ATM yang diketuai oleh Brigedier Jeneral Dato’ (Dr) Amran bin Amir Hamzah sebagai Pemerintah Operasi.
“Keseluruhan pengoperasian OP STARLIGHT juga diletakkan di bawah Panglima Angkatan Bersama, Leftenan Jeneral Dato’ Noor Mohamad Akmar Mohd Dom TUDM sebagai peneraju operasi dan akan berhubung rapat dengan perkhidmatan lain, agensi dalam dan luar negara dalam melaksanakan misi sejajar dengan peranan serta tanggungjawab yang di amanahkan,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, operasi penghantaran akan dilakukan dengan 3 fasa dengan menggunakan pesawat A400M dan pesawat komersil.
“Hospital Medan ini akan ditempatkan di Adiyaman dengan bantuan koordinasi dari Kedutaan Turkiye di Malaysia, Kementerian Luar Negeri Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),” jelas kenyataan itu.
Hospital Medan Tahap 3 berkapasiti 60 buah katil dilengkapi dengan kemudahan wad, Bilik Pembedahan (Operation Theatre Room), Unit Rawatan Rapi (Intensive Care Unit Room), Radiologi dan makmal.
“Ianya juga menawarkan 9 kepakaran iaitu Perubatan Primer, Orthopedik, Pembedahan, Anesthesia, Maxilo-Facial, Obsterik & Ginekologi, Pediatrik, Opthalmologi dan Perubatan Kecemasan, “Melalui kemudahan yang disediakan akan membolehkan Hospital Medan ini memberi tumpuan kepada perkhidmatan rawatan kepada mangsa yang terlibat di samping mempunyai kapasiti katil untuk mangsa yang memerlukan rawatan lanjut,” jelasnya. – airtimes.my