MERSING, 23 Sept – Tentera Darat Malaysia (TDM) bersama Tentera Nasional Indonesia-Angkatan Darat (TNI-AD) mengadakan Eksesais HARIMAU SATYA 9/2022 di Teluk Murau, Kem Iskandar, Mersing mulai 14 hingga 22 September 2022.
Eksesais ini melibatkan seramai 10 pegawai dan 47 anggota dari 21 Gerup Gerak Khas (21 GGK) serta Komando Pasukan Khusus TNI-AD (KOPASSUS TNI-AD).
Latihan yang berlangsung selama 10 hari ini berkonsepkan Cross Training Exercise (CTX) dan Field Training Exercise (FTX) atur gerak operasi sniper terhadap Taktik, Teknik dan Prosedur (TTP).
Objektif eksesais ini adalah untuk meningkatkan kemahiran memimpin dan merancang pelaksanaan atur gerak operasi sniper pegawai dan anggota kedua-dua negara.
Eksesais ini juga bagi mengukuhkan hubungan profesional ketenteraan di antara Malaysia dengan Indonesia.
Semalam, upacara penutup Eksesais HARIMAU SATYA telah disempurnakan Komandan Jeneral KOPASSUS, Mayor Jeneral TNI Iwan Setiawan.
Turut hadir, Ketua Staf Am MK 21 GGK, Brigedier Jeneral Adi Ridzwan Abdullah.
Pada upacara penutup turut diadakan pertunjukan demonstrasi penyusupan sniper melibatkan anggota GGK dan KOPASSUS bagi mempamerkan gambaran kemampuan pasukan khusus dalam melaksanakan sebarang jenis operasi. – airtimes.my