PUTRAJAYA, 26 Ogos – Latihan bersepadu pertama acara perbarisan dan perarakan Hari Kebangsaan 2019 bermula hari ini di Dataran Putrajaya di sini.
Sesi latihan bermula seawal 8 pagi sehingga tengah hari itu disertai kontinjen daripada pasukan keselamatan dan pelajar sekolah yang terlibat dalam persembahan pergerakan formasi manusia dan acara padang.
Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Tan Sri Norliza Rofli berkata untuk sambutan tahun ini, seramai 15,910 peserta terlibat iaitu 4,300 daripadanya adalah pelajar sekolah selain 391 aset milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Ini latihan bersepadu pertama yang kita adakan selepas berlatih mengikut kumpulan masing-masing. Raptai hari ini lebih kepada mendedahkan kontinjen dengan turutan acara serta membiasakan diri dengan lokasi perarakan,” katanya ketika ditemui selepas tamat sesi latihan bersepadu hari ini.
Norliza turut memuji komitmen dan semangat 4,300 pelajar sekolah yang mengambil bahagian dalam persembahan pergerakan formasi manusia dan acara padang kerana mereka merupakan kumpulan ‘paling lama’ berlatih dan terbabit dalam sambutan tersebut.
“Kami amat bangga dengan komitmen generasi muda Malaysia ini dan saya harap platform ini secara tidak langsung mendidik mereka membina jati diri rakyat yang patriotik dan menolak rasuah.
“Kami cuba pastikan mesej tema Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih yang dipersembah menerusi segmen melibatkan pelajar sekolah diterjemahkan sebaiknya untuk panduan mereka yang menyaksikannya,” katanya.
Acara persembahan pergerakan manusia dan persembahan padang disertai oleh pelajar tingkatan satu, dua dan empat membabitkan sekolah dari Selangor dan Kuala Lumpur.
Putrajaya adalah tuan rumah bagi acara perbarisan dan perarakan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini. Tema Hari Kebangsaan tahun ini adalah Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih. – Bernama