KUALA LUMPUR, 3 Mei – Kerajaan hari ini bersetuju supaya pelaksanaan rangkaian 5G di Malaysia diteruskan melalui Digital Nasional Berhad (DNB) sehingga mencapai 80 peratus liputan di kawasan berpenduduk menjelang penghujung 2023.
Menteri Komunikasi dan Digital (KKD), Fahmi Fadzil berkata, pada masa sama peralihan kepada model dwirangkaian akan dilaksanakan berpandukan syarat-syarat yang selari dengan amalan di peringkat global.
“Keputusan ini dibuat dengan anjakan fokus kepada elemen penerimagunaan dan inovasi berasaskan teknologi 5G secara komprehensif,
“Model ini turut mengambil kira kemampanan ekosistem industri telekomunikasi di Malaysia sekali gus menamatkan unsur monopoli yang sering dikaitkan dengan DNB,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Fahmi turut berkata, peralihan ini dapat memanifestasikan keterangkuman melalui penyertaan penuh penyedia perkhidmatan tanpa menjejaskan langganan 5G sedia ada pada kadar yang berpatutan untuk rakyat.
“KKD sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Kewangan (MOF) dan DNB serta pihak penyedia perkhidmatan bagi memastikan peralihan kepada model dwirangkaian berjalan dengan lancar tanpa menjejaskan kepentingan rakyat dan keyakinan pelabur,” ujarnya lagi.-airtimes.my