Askar Wataniah (AW) sebagai komponen simpanan Tentera Darat merupakan ketumbukan penting, yang mana dalam doktrin pertahanan negara ia merupakan barisan kedua selepas angkatan tetap.
Anggota simpanan ini terdiri daripada pelbagai latar belakang memainkan peranan sebagai pasukan sokongan untuk Angkatan Tentera Malaysia dalam situasi darurat.
Visi Kementerian Pertahanan melalui Tentera Darat adalah membangun AW yang kredibel, seimbang serta mencapai nisbah 1:1 dengan angkatan tetap.
Misi nasional ini bakal dimainkan oleh Universiti Teknologi MARA (UiTM) menerusi penawaran program kokurikulum AW berjam kredit di setiap kampus pusat pengajian tinggi awam tersebut di seluruh negara.
UiTM merupakan IPTA terbesar di Malaysia yang menyediakan pendidikan inovatif dengan infrastruktur dan teknologi terkini. Dengan 34 kampus termasuk kampus induk di Shah Alam, UiTM mempunyai lebih daripada 180,000 pelajar di seluruh cawangannya.
Rancangan untuk menawarkan program kokurikulum berjam kredit ini di kampus-kampus UiTM ataupun dikenali sebagai Program Wataniah PLAS UiTM telah pun dirangka sejak tiga tahun lalu.
Ini dilihat sebagai satu usaha strategik yang ingin dimainkan UITM dalam menyokong Dasar Pertahanan Negara.
Selain itu, program luar kuliah yang melibatkan agensi kerajaan seperti ini menjadi salah satu matlamat baharu UiTM agar para graduan yang dilahirkan bukan sahaja memiliki ilmu pengetahuan dalam dunia akademik tetapi dilengkapi dengan minda cintakan negara dan pengukuhan jati diri serta bersedia diaturgerak di saat negera memerlukan mereka.
Di peringkat Kementerian Pertahanan, ia juga antara matlamat kementerian menyatupadukan semua agensi kerajaan, pihak swasta dan masyarakat bagi membentuk pertahanan komprehensif melalui konsep ‘Whole of Government and Whole Of Society’ (WoGoS)
menerusi platform dinamik angkatan simpanan.
Komponen AW turut dilibatkan dan diberikan peluang untuk mempamerkan keupayaan dari sudut memberikan perkhidmatan ‘essential’ dalam konteks rancangan mobilisasi keseluruhan agensi peringkat nasional kelak.
Bagi mengelakkan kekeliruan, Program Wataniah PLAS UiTM adalah berbeza dengan Pasukan Latihan Pegawai Simpan (PALAPES) sedia ada di UiTM dari sudut penglibatan pelajar serta pengurusannya.
PALAPES hanya terbuka kepada mahasiswa yang mengikuti pengajian pada peringkat Ijazah Sarjana Muda untuk ditauliahkan sebagai pegawai dalam pasukan simpanan.
Sebaliknya, Program Wataniah PLAS UiTM melibatkan siswa-siswi peringkat pengajian diploma sebagai program ko-kurikulum beruniform berjam kredit baharu.
Namun pada dasarnya mereka adalah pegawai muda, pegawai kadet dan anggota pasukan simpanan yang bernaung di bawah pasukan Askar Wataniah Malaysia.
Bagaimanapun, Program Wataniah PLAS UiTM ditadbir selia oleh Pusat Tanggungjawab PALAPES UiTM Malaysia selaku badan induk yang bertindak untuk memantau dan memudahcara antara pihak Universiti dan tentera.
Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Dr Shahrin Sahib @ Sahibuddin adalah Komandan PALAPES dengan pangkat Kepten (Kehormat) dalam Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Laut Diraja Malaysia (PSSTLDM).
Adalah menjadi satu kelebihan kepada UiTM untuk menawarkan program ko-kurikulum ini kerana kos pentadbiran serta pengurusan latihan dibiayai oleh Kementerian Pertahanan menerusi Angkatan Tentera Malaysia.
Ketika ini dua kampus negeri telah menawarkan dan melaksanakan Program Wataniah PLAS UiTM; iaitu Melaka dan Terengganu, dan akan dikembangkan keseluruh sistem Universiti dalam masa terdekat.
Iltizam ini memerlukan sokongan pengurusan universiti yang kuat dalam melaksanakan program tersebut.
Program Wataniah PLAS UiTM ini menyamai penubuhan kokurikulum AW di Politeknik. Sejumlah 14 buah Politeknik telah berjaya menubuhkan pasukan AW. Cuma, nisbah keanggotaan yang bakal diperoleh daripada Program Wataniah PLAS UiTM ini lebih besar.
Dengan kemudahan dan prasarana lengkap di semua kampusnya, Pusat Tanggungjawab PALAPES UiTM Malaysia mampu untuk melaksanakan program ini.
Program Wataniah PLAS UiTM akan dilaksanakan bersama pasukan AW di negeri masing-masing termasuk unit-unit bukan infantri Siri 500. Justeru, program ini begitu berbeza dengan program kokurikulum lain yang ditawarkan di UiTM kerana mereka adalah anggota tentera simpanan yang diiktiraf dari sudut kerjaya termasuk pangkat dan kelayakannya.
Sepertimana objektif PALAPES, Program Wataniah PLAS UiTM sama iaitu memberi peluang kepada siswa-siswi khususnya peringkat pengajian diploma berkecimpung dalam Angkatan Tentera Malaysia atau dalam pasukan simpanan apabila tamat pengajian.
Program Wataniah PLAS UiTM juga menjadi sumber tenaga anggota simpanan yang terlatih untuk Angkatan Tentera Malaysia yang boleh dikerah pada bila-bila masa kecemasan atau darurat.
Dengan jangkaan pengambilan dan keaktifan anggota seramai 200 siswa-siswi untuk Program Wataniah PLAS di kesemua 34 kampus UiTM setahun, ini menyediakan kira-kira 6,800 anggota AW.
Angka ini merupakan satu jumlah besar yang mana Program Wataniah PLAS UiTM dapat membantu Bahagian Pasukan Simpanan (BPS) mendapatkan anggota sukarelawan setiap tahun.
Siswa-siswi ini juga akan aktif di pasukan AW masing-masing sekurang-kurangnya dua tahun iaitu sepanjang tempoh pengajian.
Ini juga dapat mengatasi isu tidak aktif anggota yang kerap dialami unit-unit AW selain jumlah penyertaan kecil sukarelawan dalam pasukan AW bantuan tempur dan bantuan khidmat.
Justeru, Program Wataniah PLAS UiTM bakal memberi sinergi dan impak baharu kepada kekuatan angkatan simpanan yang mana penawarannya turut terbuka kepada Program PLAS PSSTLDM dan PSSTUDM pada masa hadapan. – airtimes.my
#AirTimes #kolumnis #UITM #Watananiah