[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=bTqOc0w-qg4[/embedyt]
KUALA LUMPUR, 5 Apr – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah menerima Bantuan Musa’adah sebanyak RM 800,000 yang akan dimanfaatkan oleh 4,000 warga ATM di seluruh negara.
Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM berkata, bantuan ini adalah satu bentuk bantuan khusus yang diagihkan secara bersasar kepada golongan yang ditimpa musibah terutamanya sepanjang penularan pandemik COVID-19 ini.
“Sumber bantuan ini diperolehi daripada hasil kutipan wang zakat yang telah digerakkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM),
“Secara jujurnya, sebagai pemerintah tertinggi ATM, saya amat terharu dan berterima kasih kepada Menteri Hal Ehwal Agama di atas keprihatinan yang ditunjukkan kepada ATM,
“Dengan sumbangan ini, membuktikan bahawa pengorbanan yang telah dicurahkan oleh anggota ATM selama ini terutamanya sepanjang membantu negara mengekang penularan COVID-19 telah dapat dilihat, dirasai dan dihargai oleh semua pihak,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menerima replika cek bantuan Musa’adah daripada Menteri Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri di Wisma Perwira, hari ini.
Sementara itu, Dr Zulkifli berkata, kolaborasi antara Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dengan Kementerian Pertahanan akan dipertingkatkan terutamanya bagi menjaga moral dan kebajikan warga ATM.
“Bantuan yang disalurkan akan diteruskan dari semasa ke semasa untuk meringankan beban yang ditanggung oleh warga ATM termasuk keluarga, aspek sokongan moral, kebajikan anggota ATM,
“Kolaborasi yang dikoordinatkan oleh Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT) serta rakan strategi kami perlu diteruskan untuk memberi bantuan kepada golongan tentera yang berpendapatan rendah,
“Jumlah bantuan yang diserahkan pada hari ini sekitar RM800 ribu dan kita akan teruskan rancangan ini dari semasa ke semasa. Kita juga akan jalinkan kerjasama yang erat dengan Ketua Pengarah KAGAT bagi mencari ruang untuk bekerjasama,” katanya.
Dalam masa yang sama, Dr Zulkifli juga menjelaskan pihaknya juga memohon bantuan daripada ATM dalam menyantuni dan memberi bantuan Musa’adah kepada mereka yang memerlukan.
“Kami memohon bantuan sama ada dari segi kepakaran dan tenaga dalam membaiki rumah, masjid atau surau bagi mengemaskini kerjasama antara dua pihak,” jelasnya.
Terdahulu, Dr Zulkifli telah menyerahkan replika cek sebagai simbolik sumbangan kepada Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM serta disaksikan oleh Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Affendi turut menyampaikan bantuan berupa Musa’adah sebanyak RM100 dan barangan keperluan juga bernilai RM100 kepada 10 anggota ATM yang layak.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Muez Abd Aziz; Ketua Pengarah Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT), Mejar Jeneral Datuk Nawawi Daud dan tetamu awam dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM); Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP); Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI); Yayasan Waqaf Malaysia dan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM). –airtimes.my
Galeri gambar: