PUTRAJAYA, 27 Ogos – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), tidak menolak kemungkinan besar penularan wabak COVID-19 dalam Kluster Tawar dan Kluster PUI Sivagangga daripada sumber yang sama.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kajian virologi oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) terhadap 14 sampel Kluster Tawar mendapati, 4 sampel daripadanya mempunyai mutasi D614G.
Namun begitu, siasatan lanjut masih dijalankan oleh KKM bagi mendapatkan maklumat yang lebih terperinci.
“Virus Kluster Tawar daripada 4 sampel itu dibandingkan dengan virus daripada Kluster PUI Sivagangga membabitkan 3 sampel,
“Hasil menunjukkan bahawa ketujuh-tujuh virus ini adalah daripada kumpulan sama,” katanya pada sidang media perkembangan COVID-19, hari ini.
Pada masa yang sama, Dr Noor Hisham mengesahkan 5 pertambahan kes pada hari ini tidak melibatkan mana-mana kluster yang sedang aktif di utara Semenajung Malaysia.
“5 kes terbaharu pada hari ini melibatkan 2 kes import dan 3 kes tempatan di Melaka,” tambahnya.-airtimes.my