KLUANG, 4 Mei – 4 individu termasuk seorang wanita warga Vietnam dan seorang wanita tempatan ditahan bersama dadah jenis syabu dan ganja, seberat hampir empat kilogram bernilai RM200,000 di sebuah rumah teres di Taman Delima 3 di sini, Ahad lepas.
Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner Polis (ACP) Bahrin Mohd Noh berkata kesemua suspek berusia 26 hingga 34 tahun itu direman 6 hari hingga 6 Mei ini.
“Polis turut menyita dua buah kereta berserta wang tunai berjumlah RM158,150 dan dadah yang dirampas itu mampu menampung lebih 7,000 penagih,
“Siasatan awal mendapati dadah yang dirampas adalah untuk pasaran sekitar Kluang dan daerah berhampiran, selain suspek baru menyewa rumah berkenaan sekitar 2 bulan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kluang semalam.
Bahrin berkata 3 suspek warga tempatan mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan dadah dan kesemua yang ditahan didapati positif dadah.
Tambah beliau, sejak Januari hingga 30 April lepas, pihaknya menahan 406 individu melibatkan pelbagai kesalahan dadah dengan nilai keseluruhan rampasan hampir RM3 juta. -BERNAMA