KUALA LUMPUR, 13 Dis – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berjaya menumpaskan satu lagi sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang turut melibatkan pegawainya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), Sabtu lalu.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, operasi yang bermula jam 7.05 malam itu dijalankan oleh sepasukan pegawai dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas JIM Putrajaya.
Beliau berkata, pasukannya bertindak hasil daripada maklumat perisikan dan awam bahawa terdapat PATI yang disenarai hitam akan diurus kemasukan ke Malaysia.
“Seramai 5 orang individu berumur antara 31 tahun hingga 49 tahun telah berjaya ditahan,
“Tangkapan terdiri daripada 2 perempuan warga Indonesia yang baru sahaja tiba dan seorang lelaki Indonesia yang berperanan sebagai ejen,
“Turut ditahan ialah 2 orang pegawai imigresen yang bersubahat dengan sindiket dan ejen yang menguruskan kemasukan PATI tersebut,” jelasnya dalam kenyataan, hari ini.
Khairul Dzaimee menjelaskan, modus operandi sindiket adalah ejen akan mengatur kemasukan PATI yang disenarai hitam atas kesalahan lampau dengan kerjasama pegawai imigresen yang bersubahat di kaunter ketibaan.
“Kemudian pegawai imigesen tersebut akan menurunkan cap masuk kepada PATI tersebut dengan upah antara RM1,000 hinga RM2,000 bagi setiap PATI,
“PATI kemudian akan dijemput oleh ejen untuk dibawa ke destinasi yang dituju tujuan bekerja secara tidak sah. Kemasukan PATI itu juga tidak direkodkan didalam sistem imigresen oleh pegawai tersebut.,” jelasnya lagi.
Menurutnya, kesemua PATI tersebut ditahan kerana telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan disiasat dibawah akta yang sama.
Manakala seorang ejen dan 2 pegawai imigresen yang terlibat pula ditahan dan disiasat di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).
“Kesemua warga asing yang ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk siasatan dan tindakan lanjut,
“Manakala 2 orang pegawai imigresen yang terlibat ditahan reman selama 7 hari untuk siasatan,”
Dalam masa yang sama, Khairul Dzaimee menjelaskan, pihaknya akan terus komited dalam membanteras sindiket penyeludupan migran dan tidak akan sama sekali berkrompomi dengan kesalahan yang melibatkan kakitangan JIM sendiri.
“Mana-mana orang yang didapati melanggar kesalahan imigresen akan diambil tindakan yang tegas,” tegasnya. -airtimes.my